Oleh: Syazmir HN

SELARAS dengan pandangan Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (JKom), Dr. Budiman Zuhdi dalam audio siaran khas kelolaan JKom beberapa hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dibiarkan keseorangan dalam menangani pelbagai isu, cabaran dan kekangan kepada mereformasikan pentadbiran negara.
Tegas Dr. Budiman, semua anggota pentadbiran, parti komponen dalam kerajaan serta agensi yang mendokong MADANI mestilah membantu mengukuhkan naratif kerajaan dalam sendi-sendi masyarakat.
Kerajaan MADANI yang mendokong hampir 17 parti politik mestilah dilihat berpadu dan bertenaga dalam menangkis serangan dan tohmahan pembangkang kepada kerajaan.
Justeru, dalam konteks Parti AMANAH Negara sebagai salah satu parti komponen dalam kerajaan MADANI, konsep mahupun wawasan partinya dikira antara salah satu strategi untuk membantu mengukuhkan agenda Malaysia MADANI.
Parti AMANAH Negara bukan lahir kerana tersingkirnya seorang tokoh, malah Parti AMANAH Negara bukan ditubuhkan semata-mata kerana perbezaan pandangan dengan parti induknya, sebaliknya Parti AMANAH Negara ditubuhkan untuk menawarkan sebuah bentuk politik yang lebih relevan dan serasi dengan keadaan Malaysia yang ada pada hari ini.
Parti AMANAH Negara tidak pernah lari dalam tekad untuk mengangkat syiar Islam sebagai perjuangan parti, ia juga terdiri daripada kepimpinan ahli politik yang arif dan berpengalaman dalam sepak terajang Gerakan Islam.
Namun, hakikat yang perlu diakui dan disedari bahawa Parti AMANAH Negara membawa tekad dan juang terhadap Islam dengan pendekatan lebih matang dan harmoni serta serasi dalam kerangka Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum.
Parti AMANAH Negara juga lebih realistik dan meninggalkan retorik politik dalam mempersembahkan politik Islam dalam kepimpinan dan pentadbiran negara apabila ia dibawa secara lengkap dan seiring dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mengapa ia bukan retorik, kerana pendekatan yang dibawa selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjurus ke arah ia boleh dilaksanakan. Berbeza dengan kelompok lain yang senantiasa menjaja kepada masyarakat bahawa Islam akan diangkat dengan cara begini dan begitu, tetapi ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menyimpulkan apa yang dijaja itu tidak mungkin mampu dan berjaya dilaksanakan. Itu retorik politik semata-mata.
Berbalik kepada penegasan Dr. Budiman, wawasan Parti AMANAH Negara amatlah bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri ke-10.
Untaian kata ‘AMANAH’ itu juga amat signifikan dengan perjuangan Parti AMANAH Negara yang membawa isu integriti bukan sahaja ketika memegang kuasa pentadbiran, sebaliknya juga sifat berintegriti dalam menyampaikan ilmu dan beragama.
Tahun-tahun Parti AMANAH Negara ditubuhkan, negara diheret ke lembah yang sarat dengan isu korupsi dan integriti. Baik dari sudut mereka yang sedang berkuasa, mahupun kepada kelompok agamawan yang menjadi tempat umat Melayu Islam bersandar pegangan dan pendapat.
Jelas ketika itu, sifat ‘amanah’ menjadi tuntutan semasa yang perlu diperkukuhkan dalam amalan politik, hidup bermasyarakat serta tadbir urus negara apabila ia diyakini mampu meletakkan semula negara ke landasan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan sedang mengukuh.
Selaras dengan itu, komitmen Parti AMANAH Negara terhadap isu integriti merupakan satu komitmen yang sedang dijunjung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Iltizam politik Anwar dalam menekankan urustadbir baik serta reformasi institusi negara ke arah sebuah negara yang produktif, berpendapatan tingggi dan bertamadun tidak bercanggah dengan wawasan Parti AMANAH Negara. Lebih dari itu, Parti AMANAH Negara mampu menjadi satu parti atau gerakan yang membawa naratif integriti dan tadbir urus baik mengikut syariat Islam.
Malaysia MADANI yang dibawa oleh Anwar Ibrahim menekankan soal kesejahteraan. Justeru ia mampu diperkukuhkan dengan daya usaha dua kementerian yang dijaga oleh pemimpin Parti AMANAH Negara.
Melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Parti AMANAH Negara menggerakkan pelbagai usaha meneguhkan kesejahteraan rakyat. Bagi untung nasib petani, kebajikan nelayan sehinggalah kepada kecukupan stok makanan buat rakyat Malaysia, itu semua sudah menjadi paksi utama di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohamad Sabu selaku menteri. Presiden Parti AMANAH Negara itu menjadi harapan sebilangan besar rakyat marhaen yang bergantung rezeki dengan alam. Iltizam Mohamad Sabu dan kementeriannya memperkukuhkan pendapatan golongan ini mampu menjulang kesejahteraan rakyat.
Manakala Kementerian Kesihatan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula senantiasa menjadi tumpuan umum atas sifat sektor kesihatan menjadi teras penting kepada kesejateraan rakyat. Oleh itu komitmen Dr Dzulkefly dan KKM mereformasi sektor kesihatan secara menyeluruh dan berkesan menjadi penyumbang paling utama ke arah mencapai gagasan Malaysia MADANI yang telah diperkenalkan awal tahun 2023 dahulu.
Parti AMANAH Negara masih mempunyai peluang dan ruang untuk berperanan lebih besar dan berkesan dalam membantu Perdana Menteri mengukuhkan gagasan Malaysia MADANI. Asasnya Parti AMANAH Negara perlu terus memperkasakan kedudukan parti dari pelbagai sudut.
Perjuangan Parti AMANAH Negara tidak boleh berlegar di kalangan pimpinan utama dan media peringkat tertinggi sahaja, sebaliknya wawasan Parti AMANAH Negara mestilah membumi ke peringkat akar umbi, khususnya ahli-ahli di peringkat kawasan dan cawangan.
Hal ini demikian kerana kefagaman yang jelas ahli-ahli akar umbi kepada perjuangan Parti AMANAH Negara akan membantu menyebarluaskan wawasan parti ke dalam masyarakat pula. Dengan cara itu, proses mempertingkatkan keberadaan dan peranan Parti AMANAH Negara terus berkembang.
Dalam konteks ini, Kolokium Pemetaan Strategi Pidato Presiden Parti AMANAH Negara anjuran Parti AMANAH Negara, Negeri Pulau Pinang pimpinan Muhammad Faiz Fadzil amatlah sesuai dan perlu. Pidato Presiden parti bukan hanya sekadar mengisi slot dalam Konvensyen Tahunan parti, sebaliknya ia menjadi panduan hala tuju parti serta komitmen parti menuju setahun mendatang.
Justeru, ia perlu terus turun ke akar umbi dan difahami oleh ahli-ahlinya sekali gus mendokong hala tuju tersebut. Cara itu dilihat menjadi ahli dan parti begitu bermakna dan berperanan dalam masyarakat.
Dari sudut keagamaan, Konvensyen Nadwah Ulama Nadhan Jadidah (NUNJI) yang diadakan setiap tahun mampu menjadi platform kepada Parti AMANAH Negara untuk menjadi benteng utama menangani serangan persepsi berbentuk agama kepada kerajaan MADANI. Malah NUNJI mempunyai ruang untuk mencerahkan pemikiran rakyat melalui konsep beragama dan berpolitik yang dituntut dalam Islam. NUNJI yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan mengadakan konvensyen NUNJI edisi tahun 2025 pada 20 Disember ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Kesimpulannya, Parti AMANAH Negara bukanlah muncul semata-mata kerana mahu menubuhkan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2015, sebaliknya lahir dengan wawasan dan fikrah perjuangan yang mengangkat nilai Islam itu sebagai agenda utama.
Parti AMANAH Negara menawarkan wajah politik baru yang lebih kemas, matang dan selari dengan negara Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan. Parti AMANAH Negara mampu menjadi wadah yang mengukuhkan gagasan Malaysia MADANI aspirasi Perdana Menteri. Maka, Parti AMANAH Negara perlu merancakkan kapasiti agar peranannya lebih baik dan berkesan.
Penulis dikenali sebagai Cikgu Syazmir HN merupakan penulis politik dan bergiat cergas selaku aktivis Parti Amanah Negara (Amanah).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001