Oleh: Prof. Madya Dr. Azlina Mokhtar; Dr. Maimunah Abdul Muna’aim; dan Dr. Siti Husna Hussein

NILAI – Glaukoma kini dikenali sebagai salah satu punca utama kebutaan kekal di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Lebih membimbangkan, penyakit ini sering menyerang tanpa sebarang gejala awal, menjadikannya digelar sebagai “pencuri senyap penglihatan”.
Menurut statistik kesihatan Malaysia pada tahun 2022, dianggarkan sekitar 6 peratus rakyat Malaysia bersamaan kira-kira dua juta orang menghidap glaukoma.
Ramai pesakit hanya menyedari kehadiran penyakit ini apabila kerosakan penglihatan telah berada pada tahap serius dan tidak dapat dipulihkan.
Bagaimana Glaukoma Berlaku?
Glaukoma berlaku apabila tekanan dalam mata meningkat akibat gangguan pada sistem saliran cecair mata yang dikenali sebagai “aqueous humor”. Cecair ini sepatutnya mengalir keluar melalui jejaring trabekular di hadapan mata.
Apabila aliran ini terganggu, tekanan meningkat dan merosakkan saraf optik – bahagian penting yang menghubungkan mata ke otak.
Namun begitu, terdapat juga kes di mana tekanan mata kelihatan normal, tetapi kerosakan saraf tetap berlaku akibat kelemahan struktur saraf atau gangguan bekalan darah ke kawasan tersebut.
Siapa Berisiko?
Antara faktor risiko utama termasuk:
– Individu berusia 65 tahun ke atas
– Sejarah keluarga menghidap glaukoma
– Masalah rabun jauh atau rabun dekat
– Penggunaan ubat titis steroid tanpa pengawasan
– Penyakit seperti migrain, obstructive sleep apnea (OSA), dan diabetes mellitus
Glaukoma juga boleh menyerang bayi dan kanak-kanak. Tanda-tanda awal termasuk bola mata yang besar, mata merah dan berair serta kornea yang kelihatan keruh. Keadaan ini memerlukan rawatan segera oleh pakar oftalmologi.
Jenis-jenis Glaukoma
Terdapat dua jenis utama:
– Glaukoma sudut terbuka (open-angle): Berkembang perlahan tanpa gejala awal. Penglihatan mula hilang dari bahagian tepi.
– Glaukoma sudut tertutup (closed-angle): Berlaku secara akut dengan gejala seperti sakit mata, mata merah, penglihatan kabur, dan loya.
Pengesanan Awal Adalah Kunci
Pemeriksaan mata secara berkala amat penting, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi. Saringan tekanan mata dan pemeriksaan saraf optik boleh dilakukan di klinik pakar mata. Pengesanan awal mampu menyelamatkan penglihatan yang masih ada.
Rawatan dan Pencegahan
Setakat ini, tiada makanan atau suplemen yang terbukti dapat mencegah glaukoma. Rawatan utama adalah melalui ubat titis anti-glaukoma yang perlu digunakan seumur hidup. Dalam kes tertentu, rawatan laser atau pembedahan mungkin diperlukan.
Pesakit diingatkan agar tidak menggunakan ubat titis tradisional atau produk tidak berdaftar yang mendakwa mampu menyembuhkan glaukoma, kerana sesetengahnya mengandungi steroid tersembunyi yang boleh memburukkan keadaan.
Kesimpulan
Glaukoma adalah penyakit mata yang serius dan boleh menyebabkan kebutaan kekal jika tidak dikesan awal. Oleh itu, masyarakat disarankan agar lebih peka terhadap kesihatan mata dan menjalani pemeriksaan berkala, terutamanya jika mempunyai faktor risiko.
“Jangan tunggu gejala muncul. Lindungi penglihatan anda sebelum terlambat”. – ND

Prof. Madya Dr. Azlina Mokhtar, Dr. Maimunah Abdul Muna’aim dan Dr. Siti Husna Hussein adalah Pakar Oftalmologi, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn Bhd.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001