KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu hari ini menolak rayuan sebuah syarikat kontraktor pembersihan, Monson Tropical Trading terhadap enam pekerja tukang cuci bagi tuntutan baki bayaran gaji mengikut Perintah Gaji Minimum.
Perintah dibuat oleh Hakim Shamsul Bahrin Abdul Manaf terhadap syarikat berkenaan yang diarahkan membayar baki gaji enam bekas pekerja yang bekerja sebagai tukang cuci di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan dari Mei 2022 hingga Julai 2023 berjumlah RM28,500 berserta kos sebanyak RM8,000.
Pekerja-pekerja tersebut antaranya pernah berkhidmat dengan syarikat berkenaan sekitar dua hingga empat tahun dan salah seorang daripadanya ialah Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam.
Sebelum ini, Pejabat Tenaga Kerja memerintahkan syarikat berkenaan membayar jumlah tersebut kepada Zuhaida Daud, Mohamad Safuan Zakaria, Sharifah Mohammad, Mahani Daud, Mohd Hafizi Mohd Arshad dan Muhammad Nasharudin Samsudin pada November tahun lalu. Namun, defendan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu awal tahun ini.
Menurut Peguamcara yang mewakili keenam-enam Responden, Nik Saiful Adli Burhan, keputusan Mahkamah hari ini memberi kelegaan kepada semua anakguam memandangkan kesemuanya telah dua tahun menunggu baki gaji mereka.
“Mereka ialah golongan berpendapatan rendah, malah tidak mampu pun membayar kos guaman. Untuk kes di Mahkamah Tinggi, saya hanya buat secara percuma.”
Perayu diwakili peguam Muhammad Habil Bin Zainal Abidin dari Tetuan Zainal & Mariani manakala Nik Saiful Adli Burhan dari Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli mewakili kesemua pekerja-pekerja.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
