CERPEN: “Sakura Mengorak Kelopak Di Palong 8”

Karya: Mohd. Shah Abdullah@MSA

MEMANG jalan masuk ke Palong 8, sebuah daerah Felda di bahagian hujung Negeri Sembilan seperti menguji jiwa setiap pendatang baru. Jalan raya sudah berturap aspal, tetapi jarak perjalanan ke sana dari Seremban ke Palong 8, “Ya Ampun!” Sesak nafas, mujur hari biasa perjalanan kenderaan lancar, jika hujung minggu dari Seremban melewati Ulu Bendul sampai ke Kuala Pilah, “Ya Ampun!” “Macet total”, kata Pak Sudirman, seorang supir grab di kota Jakarta. Masuk ke sana sudah dikira musafir, boleh qasar jamak solat fardu.

Dari simpang Serting masuk ke Bandar Baru Serting dan Jempol di kiri kanan hanya kebun getah dan sawit. Sampai satu titik tiada penghuni, kecuali hutan banat. Mujur berselisih lori membawa muatan sarat buah sawit yang baru dikutip. Jika novelis Andrea Hirata sampai ke sini, plot ceritanya dalam Lasykar Pelangi pasti bertukar. Laluan sentiasa sepi kecuali bunyi motosikal, kereta dan lori yang sesekali melintas bersama pekebun sawit. Suasana ini memang menggoda dan bergelora.

Pada petang itu, sebuah kereta Myvi membawa tiga anak muda, Amirah, Syahira dan Suha – tiga graduan Institut Pendidikan Guru (IPG), dalam jurusan Bahasa Inggeris. Boleh dikatakan mereka membesar dalam suasana bandar. Lalu mereka datang dengan semangat bercampur goncangan kecil dalam hati. Mahu melapor diri bertugas setelah diperintah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengabdi kepada bangsa, agama dan negara. Juga berbakti kepada unggas, flora dan fauna serta menjaga sistem ekologi agar seimbang! Ini pesan keramat abad ini kerana alam sudah tidak lagi seimbang, sudah banyak kerosakan dan malapetaka, banjir kilat, dan tanah runtuh di sana sini.

“Kalau kereta aku boleh bercakap, mesti dia minta balik KL,” kata Amirah, cuba berjenaka. Syahira dan Suha yang terlentuk-lentuk akibat mengantuk hanya tersenyum kecil. Dalam hati mereka pun memang bergelora.

“Jangan risau…kereta tak boleh bercakap. Yang bercakap cuma hati kita,” balas Syahira sambil memandang ke luar tingkap tepat ke arah ladang sawit yang seolah tidak berpenghujung. Syahira sekadar diam. Dia memegang surat penempatan yang sudah lusuh diulang baca.

“Sekolah Kebangsaan Palong 8, Negeri Sembilan.”

Tangan Syahira menggigil sedikit – entah kerana takut, entah kerana teruja. Dia sudah menyiapkan ubat-ubatan secukupnya, minyak angin cap kapak, minyak gamat, dan plaster takut luka terkena duri akar palas yang bisa.

Hari Pertama di Sekolah Kebangsaan Palong 8

Pagi pertama, embun masih melekat di daun lalang ketika mereka melangkah masuk ke pekarangan sekolah. Bangunan sederhana, bumbungnya memantulkan cahaya pagi yang damai.

Guru Besar, Cikgu Razali, menyambut mereka dengan senyuman ramah.

“Di sini, murid-murid perlukan lebih dari sekadar guru Bahasa Inggeris,” katanya sambil berjalan menunjukkan kawasan sekolah.

“Mereka perlukan role model. Ikon. Harapan,” dia bersyarah ibarat seorang ayah yang selalu mengharapkan anaknya tabah dan cekal menempuh gelora hidup ini.

Ayat itu melekat dalam fikiran ketiga-tiga guru muda itu.

Di bilik guru yang sederhana, tetapi meriah dengan poster motivasi, mereka diperkenalkan kepada guru-guru senior – kebanyakannya anak jati Felda yang telah puluhan tahun mengajar.

“Kalau nak tahu murid ponteng, jangan cari di rumah, cari dekat kebun,” ujar Cikgu Lela sambil tergelak kecil.

“Kadang-kadang mereka tolong keluarga menoreh. Kami panggil itu ‘ponteng berbaloi’.”

Murid-Murid yang Jujur dan Lasak

Kelas Cikgu Amirah murid kelas Tahun 5. Murid-muridnya lasak, tetapi jujur seperti kampung itu sendiri.

“Teacher, saya tak pandai English,” kata seorang budak lelaki bernama Afiq.

“Tak apa,” jawab Cikgu Amirah. “Yang penting kamu nak belajar.”

Afiq menggeleng.

“Bukan tak nak, teacher… tapi Ayah kata English ni bukan untuk orang Felda. Untuk orang bandar.”

Cikgu Amirah terdiam. Dalam hatinya timbul azam jika satu hari nanti Afiq boleh bercakap Inggeris walau sedikit, itu sudah kemenangan besar.

Kelas Cikgu Syahira. Dia mengajar Tahun 4. Wajahnya yang lembut membuatkan murid-murid perempuan cepat rapat dengannya.

“Teacher Sya, this one sebut macam mana?” tanya seorang murid pemalu, Zulaikha, sambil menunjuk buku cerita.

“This… bukan dis. Cuba ikut teacher, sayang.”

Zulaikha mengulang dengan yakin. “This.”

Cikgu Sya tersenyum. Kadang-kadang kemenangan kecil seperti itu menghangatkan seluruh hari.

Kelas Cikgu Suha. Dia pula mengajar Tahun 6 – tahun peperiksaan. Tekanan bukan sedikit. Jika lingkup keputusan, Cikgu kena menjawab, pengurusan sekolah kena bertanggungjawab. Gagal bukan pilihan, lulus dengan cemerlang suatu kemestian.

Seorang muridnya, Rizal, sering ponteng. Bila hadir, matanya kuyu.

“Rizal, kenapa tak datang kelas semalam?” tanya Cikgu Suha lembut.

Rizal diam. Lama kemudian dia berbisik,

“Saya bangun awal tolong ayah angkat buah sawit, kami susah sikit, teacher.”

Cikgu Suha terasa sebak. Dunia murid itu tidak sama dengan dunia yang dia kenal; namun mereka bertemu di satu bilik kecil bernama kelas.

Hidup di Rumah Guru

Mereka menyewa sebuah rumah guru berdekatan Sekolah Kebangsaan Palong 8 di tepi kebun sawit. Rumah itu ada tiga bilik, satu dapur kecil, dan bilik air yang airnya kadang hampir beku di waktu pagi. Hanya ada satu tandas cangkung kena berkongsi bergilir-gilir. Teringat cerita P. Ramlee duduk di kawasan setinggan berkongsi bilik air untuk mandi, semua terbarai gelak.

Pada malam pertama, lampu dapur berkelip-kelip sebelum padam.

“Elektrik sini memang ada ‘jiwa sendiri’,” kata Cikgu Amirah, ketawa pahit.

Selain lipas dan cicak, yang paling lasak ialah bunyi cengkerik yang tak pernah berhenti seperti azan malam yang panjang.

Namun setiap malam, selepas menanda buku latihan dan menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), mereka duduk bersama di ruang tamu, minum kopi murah, dan berkongsi cerita murid masing-masing.

Di sini tiada Coffee Zuss, Richiamo, Apacaba dan entah apa lagi. Hanya ada warung Kak Timah yang laris menjual teh tarik special Palong 8 dan roti canai paling gebu di seantero Palong! Buka seawall jam 6.30 pagi tutup tengah hari.

Di situ, semangat mereka dipulihkan.

Masyarakat Felda nampak garang dan bengis, tapi dalam hati penuh taman.

Pelancong bandar mungkin terkejut melihat lelaki kampung berbaju pagoda, berseluar buruk berlumpur, bercakap lantang seolah bergaduh. Tetapi Cikgu Amirah, Cikgu Sya dan Cikgu Suha belajar satu perkara penting:

Masyarakat Felda tidak sombong mereka cuma berterus terang. Mereka telus, kata ahli politik dari semua parti yang mereka pernah dengar bersyarah sampai serak-serak suara tiga hari tiga malam.

Pada suatu petang, seorang pakcik bernama Abang Man, pekerja ladang, menghentikan motosikalnya di tepi rumah guru.

“Kamu cikgu baru ya? Kalau susah air, rumah saya dekat belakang tu. Boleh tumpang,” katanya sambil menghulurkan buah mangga baru mencelah dari kebunnya.

“Terima kasih, pakcik.”

Dia tersenyum dan berlalu. Kasih sayang orang kampung selalu datang dengan cara yang tidak berbunga-bunga.

Beberapa bulan berlalu, dan cabaran sebenar mula terasa.

Ada hari Cikgu Amirah pulang dengan wajah pucat.

“Aku rasa aku gagal lah hari ini,” katanya.

Kenapa?

“Budak-budak tak faham langsung apa aku ajar. Macam cakap dengan dinding.”

Cikgu Syahira menyampuk: “Biasalah. Aku pun. Kadang kita lupa, mereka bukan macam murid bandar.”

Cikgu Amirah hanya diam. Dia paling senyap bila kecewa.

Suatu malam, Cikgu Amirah menangis perlahan ketika menanda kertas ujian.

“Kenapa ni?” tanya Cikgu Syahira.

“Budak-budak aku tak lulus. Aku takut aku tak cukup baik untuk mereka.”

“Kita bukan datang sini untuk jadi sempurna. Kita datang untuk mencuba. Selagi kita mencuba, mereka mendapat sesuatu,” Cikgu Syahira membalas gaya seorang guru kaunselor.

Air mata Cikgu Amirah jatuh, tetapi hatinya lapang sedikit.

Hari-hari sukar itu perlahan-lahan diganti dengan berita gembira.

* Afiq mula membaca dengan lancar.

* Rizal semakin jarang ponteng.

* Zulaikha menjadi murid paling berani menjawab soalan.

Dalam satu kelas, Cikgu Amirah mengadakan Spelling Bee. Murid-murid menjerit kegembiraan seperti pasukan bola. Gamat satu kelas, hingar bangar. Macam kena histeria!

“Teacher! Saya boleh eja beautiful! B-E-A-U—”

“Aduh teacher…susahnya huruf tu!” yang lain ketawa.

Perubahan itu bukan datang sekali gus – ia datang sedikit demi sedikit, seperti mentari yang naik perlahan dari balik bukit sawit. Akhirnya, ada cahaya yang menyuluh.

Majlis Akhir Tahun

Pada penghujung tahun, sekolah mengadakan majlis kecil. Murid-murid membuat persembahan Bahasa Inggeris. Suaranya pelat, tetapi semangatnya tinggi.

Rizal, yang dulu pemalu dan penat, menjadi pengacara majlis.

“Good morning, everyone,” katanya dengan loghat Felda yang pekat.

Penonton – ibu bapa dan penduduk kampung bertepuk tangan kuat.

Guru Besar memanggil Cikgu Amirah, Cikgu Syahirah dan Cikgu Suha naik ke pentas.

“Terima kasih kerana datang ke tempat yang ramai orang tidak mahu datang,” katanya.

“Dan kerana mengajar anak-anak kami bukan sekadar English… tetapi keyakinan.”

Murid-murid menghulurkan kad comot:

 “Teacher, terima kasih bagi saya peluang.”

“Teacher jangan tukar sekolah lagi.”

“Teacher… kami sayang teacher.”

Air mata mereka tumpah akhirnya – bukan kerana kesedihan, tetapi kerana rasa dihargai.

Palong 8, sebuah rumah kedua. Pada malam terakhir sebelum cuti sekolah, mereka bertiga duduk di anjung rumah guru sambil memandang bintang. Tiada tanda nak hujan, langit cerah dan awan berarak megah.

“Dulu aku fikir Palong 8 cuma tempat singgah,” kata Cikgu Amirah.

“Tapi sekarang macam tak sampai hati nak tinggalkan.”

Cikgu Syahirah mengangguk. “Aku rasa di sini kita belajar tentang hidup yang tak pernah kita jumpa di KL.”

Cikgu Syahirah menambah, perlahan:

“Kalau suatu hari nanti murid-murid kita berjaya… aku nak mereka tahu, bahawa kejayaan mereka bermula dari sekolah kecil di pedalaman ini.”

Di langit, bintang bergemerlapan.

Di bumi Palong 8, tiga guru muda itu menjadi cahaya kecil – cahaya yang akan terus mengalir dalam hidup murid-muridnya, jauh selepas mereka meninggalkan sekolah ini.

Tiga mentari kecil – yang datang membawa sinar, dan pulang dengan hati yang lebih besar. Sakura mengorak kelopak di bumi Palong 8. – ND

Karya ini hanyalah kisah rekaan penulis, mesejnya jelas – berbakti dengan menyebar ilmu itu tanda bahagia, guru itu kerjaya terhormat. Murid itu bukan mangsa tetapi pelita hati penyubur peradaban bangsa!

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *