Oleh: Mohd. Shah Abdullah@MSA

Ribut Senyar datang
seperti utusan langit
yang mengetuk jendela hati kita
dengan suara angin yang tidak dapat kita jinakkan.
Dalam deras hujannya
aku mendengar gema firman:
“Kami akan menguji kamu — dengan sedikit takut, sedikit kehilangan, sedikit perit…”
Dan tiba-tiba aku sedar
bahawa hidup ini memang sengaja dijahit
dengan ujian yang halus dan kasar
agar jiwa manusia kembali mengenal jalan pulang.
Ribut itu mengangkat daun,
menggoncang bumbung,
tetapi lebih daripada itu
ia menggoncang diam yang lama di dalam dada.
Pada setiap angin yang menghentam
ada bisikan lembut:
— engkau bukan pemilik dunia ini,
— engkau hanya tetamu yang datang seketika.
Aku teringat sabda Nabi
bahawa manusia yang diuji paling berat
adalah mereka yang paling dicintai.
Lalu aku bertanya pada diriku:
adakah ribut ini bukan murka,
tetapi kasih sayang yang menyamar?
Senyar mengajar kita
apa itu manusia:
kecil, rapuh, dan tidak berdaya
walau dunia telah menyembah teknologi.
Satelit dapat meramal,
tetapi tiada tangan dapat menahan angin
yang Tuhan arahkan ke penjuru yang Dia kehendaki.
Namun pada sisi lain ribut,
akul lihat manusia kembali menjadi fitrah
jiran mengetuk pintu jiran,
anak muda mengangkat baldi
NGO datang sebagai bahu tambahan,
dan hati yang biasa keras
melembut seperti tanah yang basah.
Bukankah Tuhan berfirman,
“Tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan,”
dan ribut ini seakan memaksa kita
melaksanakan ayat itu tanpa seminar dan konferensi
Di balik kerosakan
ada pembaikan,
di balik ketakutan
ada doa yang lebih jujur,
di balik kesibukan dunia
ada jeda yang memulangkan kita
kepada hakikat yang selalu kita lupakan.
Dan ketika Senyar berlalu
aku membaca satu tanda lagi:
“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.”
Ayat itu bukan sekadar teks
Tetapi hidup di jalan-jalan yang banjir,
Menitis di wajah sukarelawan,
Berdegup di dada orang yang sabar.
Ribut Senyar mungkin mematahkan ranting,
tetapi ia juga menumbuhkan akar kesedaran.
Meruntuhkan sedikit rumah,
tetapi membina banyak jiwa.
Setiap musibah datang dengan pesan:
jangan berjalan sombong,
jangan hidup tanpa sedar,
dan jangan lupa
bahawa rahmat Tuhan
kadang-kadang turun
dalam rupa angin yang menggoncang dunia.
Mohd. Shah Abdullah, bekas wartawan dan pensyarah komunikasi. Nukilan ini mencerminkan refleksi terhadap ribut tropika Senyar yang kini melanda negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001