KUALA LUMPUR – Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Beliau turut menekankan keperluan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan segera berhubung dakwaan tersebut.
Katanya, dari sudut undang-undang, kenyataan Tei masih berbentuk dakwaan dan wajar diselesaikan melalui proses mahkamah sivil.
Beliau menegaskan, kegagalan Shamsul mengambil tindakan undang-undang hanya akan menimbulkan persepsi dakwaan itu mempunyai asas.
“Sekiranya terdapat asas, SPRM perlu menyiasat dan mendakwa kedua-duanya atas tuduhan rasuah. Tanpa tindakan segera, pendedahan Tei telah memberikan tamparan hebat kepada kerajaan dan kredibiliti Perdana Menteri,” katanya.
Menurut Rafizi, isu itu lebih rumit dari sudut politik dan kelewatan tindakan tegas ketika kontroversi surat sokongan timbul sebelum ini menjadikan kedudukan Anwar lebih sukar dalam menangani kesan pendedahan terbaharu ini terhadap kredibilitinya.
Beliau turut menekankan, dakwaan berkaitan video mengaitkan Anwar dalam rakaman melibatkan ADUN GRS dan Albert Tei masih kekal sebagai dakwaan dan khabar angin.
“Justeru, ia memerlukan siasatan bebas dan hanya proses perundangan mampu memberikan kepastian serta penyelesaian tuntas.
“Bola kini berada di kaki Perdana Menteri. Tindakan undang-undang segera adalah penting kerana isu ini akan terus menjadi situasi ‘kata dia, kata saya’ selagi bukti kukuh tidak dikemukakan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
