Oleh: Rudy Sham Abdul Raof
DALAM dunia kepimpinan hari ini, sukar untuk kita menemui seorang menteri yang bukan sahaja memahami cabaran pendidikan dari balik meja pejabat, tetapi turut sanggup turun sendiri ke lapangan meredah hutan, mudik sungai, menaiki bot dan melalui perjalanan berjam-jam hanya untuk melihat sendiri wajah kecil yang dahagakan ilmu di kawasan pedalaman.
Namun, itulah yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang komitmennya terhadap pendidikan inklusif benar-benar terserlah melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata.
“Perjalanan air selama satu jam membawa saya ke daerah pedalaman di Hulu Perak…”. Begitulah permulaan pengalaman beliau ketika meninjau Program Sekolah Terapung yang melibatkan anak-anak Orang Asli di sekitar Tasik Banding.
Perjalanan yang jauh, sukar dan penuh cabaran itu membuka ruang kepada pelbagai persoalan: Mengapa terlalu jauh? Bagaimana anak-anak di sini bersekolah? Bagaimana mereka meneruskan pembelajaran dalam keadaan serba kekurangan?

Namun, segala persoalan itu terjawab sebaik sahaja bot yang dinaiki berhenti di Kampung Charuk Bus. Di sinilah, Fadhlina sendiri menyantuni masyarakat setempat, melihat kehidupan seharian mereka dan menyaksikan persiapan awal pagi kanak-kanak yang bangun seawal mentari terbit demi satu tujuan, menimba ilmu.
Melihat anak-anak Orang Asli berjalan menuju ke bot, lengkap dengan semangat yang terpancar di wajah, memberikan satu kesedaran mendalam: betapa besar nilai pendidikan di kawasan yang sering kita anggap terpencil dan terpinggir.
Ada antara mereka yang baru pertama kali menikmati pengalaman ke sekolah walaupun telah berusia 13 tahun. Bagi mereka, Program Sekolah Terapung ini bukan sekadar kelas, ia adalah sebuah harapan baharu, sebuah pintu ke dunia yang lebih luas.
Fadhlina menyaksikan sendiri bagaimana para guru mengadaptasi teknik pengajaran mengikut konteks setempat, bagaimana sekolah terapung berfungsi sebagai pusat pembelajaran fleksibel dan bagaimana seluruh komuniti berganding bahu demi memastikan pendidikan sampai kepada setiap anak, tanpa mengira lokasi atau latar.

Program Sekolah Terapung Tasik Banding merupakan salah satu usaha signifikan yang digerakkan Kementerian Pendidikan untuk menangani isu keciciran pendidikan dalam kalangan komuniti Orang Asli, khususnya di Kampung Charuk Bus, Kampung Tebang dan Kampung Chiong.
Model pendidikan ini menekankan pembelajaran fleksibel yang disesuaikan dengan realiti geografi, satu bentuk inovasi yang sering kita baca mengenai negara lain, tetapi kini direalisasikan di tanah air sendiri.
Fadhlina bukan sekadar hadir untuk melihat; beliau turun untuk memahami, mendengar dan memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar berkesan. Perjalanannya menunjukkan bahawa pendidikan bukan boleh dibina dari jauh, ia memerlukan pemimpin yang sudi berada di tengah-tengah masyarakat.
Sukar untuk menemui menteri yang sanggup menelusuri hutan belantara, meredah muara deras dan melalui perjalanan sungai yang panjang hanya untuk memastikan anak-anak pedalaman tidak terputus hubungan dengan pendidikan.

Namun, Fadhlina melakukannya, bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi kerana kepercayaannya bahawa setiap anak Malaysia berhak menikmati pendidikan berkualiti, tidak kira betapa terpencilnya kedudukan mereka.
Beliau mendengar cerita masyarakat, memahami kesukaran guru dan melihat sendiri pengorbanan ibu bapa. Lawatannya bukan simbolik; ia adalah tanda jelas bahawa pendidikan inklusif memerlukan kepimpinan yang benar-benar cakna.
Pengalaman hari itu bukan sekadar lawatan tugasan. Ia membawa makna mendalam mengenai cabaran pendidikan, keindahan ketabahan masyarakat pedalaman dan harapan baharu untuk masa depan anak-anak Orang Asli.
Apabila beliau menyatakan, “Kami akan kembali ke mari lagi”, ia bukan hanya janji. Ia adalah cerminan komitmen berterusan untuk memastikan setiap inci tanah air, walau sejauh mana pun dari bandar, mendapat perhatian sewajarnya.

Dalam kepesatan dunia moden, kisah seperti ini mengingatkan kita bahawa ada pemimpin yang memilih untuk berada di hadapan cabaran, bukan mengelaknya. Ada menteri yang berhimpun bersama rakyat, bukan sekadar memerhati dari jauh. Ada hati besar yang diyakini boleh membawa perubahan besar.
Fadhlina telah menunjukkan, pendidikan bukan bidang yang boleh diuruskan dari jauh. Ia memerlukan pemimpin yang sanggup menyingsing lengan, turun ke lapangan dan merasai denyut nadi masyarakat yang ingin diangkat.
Dan mungkin inilah yang menjadikan beliau sukar dicari ganti, seorang menteri yang bukan sahaja bekerja makan gaji, tetapi bekerja dengan hati.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001