Wanita mahu bersalin tidak diterima 5 hospital di Indonesia, meninggal bersama bayi

JAYAPURA, Indonesia – Seorang wanita dari Kampung Hobong, Distrik Sentani di Wilayah Papua, Indonesia, dilapor meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan selepas tidak menerima rawatan daripada beberapa hospital ketika hendak bersalin pada Isnin lalu, lapor portal Kompas.

Menurut keterangan keluarga, wanita dikenali sebagai Irene Sokoy dibawa dari Kampung Kensio, kira-kira jam 3 pagi dengan bot laju menuju ke Rumah Sakit (RS) Yowari untuk bersalin.

Namun, setibanya di hospital, mangsa tidak dapat dirawat dengan alasan berat bayi mencecah empat kilogram dan memerlukan pembedahan sebelum dia dirujuk ke RS Umum Daerah Abepura (RSUD) Abepura.

Ketika tiba di RSUD Abepura, dia sekali lagi didakwa tidak dilayan dan dirujuk ke RS Dian Harapan, yang turut menolak untuk memberikan rawatan dan merujuknya semula ke RS Bhayangkara.

Setibanya di RS Bhayangkara, hospital meminta keluarga menyediakan wang tunai sebanyak lapan juta rupiah (kira-kira RM1,976) bagi menampung kos pembedahan bersalin.

Disebabkan keluarga tidak mampu menyediakan wang itu, mereka membawa Irene ke RSUD Jayapura, namun wanita itu disahkan meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Timbalan Ketua Daerah Jayapura, Harris Richard Yocku, menyampaikan rasa dukacita atas pemergian ibu dan bayi itu dan menjelaskan: “Berhubung kematian ibu dan anak, kami mengucapkan takziah dan mendoakan supaya keluarga terus diberikan kekuatan”.

Beliau menambah, pihaknya kini berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan di RSUD Yowari.

“Komitmen saya bersama Ketua Daerah adalah terus memperbaiki infrastruktur dan perkhidmatan di RSUD Yowari supaya lebih baik. Saya percaya tenaga perubatan sudah melakukan yang terbaik.

“Namun, mungkin ini memang satu bencana yang tidak dapat dielakkan sehingga ibu dan bayi meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Papua, Mathius Fakhiri menyatakan rasa berang terhadap penolakan pesakit oleh beberapa hospital, menegaskan bahawa semua hospital dan pusat kesihatan komuniti (PUSKEMAS) di lapan daerah dan satu bandar di wilayah itu tidak dibenarkan menolak pesakit atas apa juga alasan.

“Sekali lagi saya ingatkan kepada semua hospital, PUSKEMAS dan tenaga perubatan dilarang menolak pesakit atas sebarang alasan termasuk kes kecemasan,” katanya di Kota Jayapura, petang semalam.

Bekas Ketua Polis Wilayah Papua itu menegaskan bahawa mereka yang menolak pesakit akan dikenakan tindakan tegas.

“Saya ulangi, jangan menolak pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan. Jika masih ada yang menolak, saya pastikan mereka dipecat,” tegasnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *