Antara “Sabah First”, “Sarawak First” dan Bayang-Bayang Negara Berpecah Halus

Dari Meja Editorial

ADA sesuatu yang menarik, dan kadangkala mencemaskan, apabila menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, iaitu slogan “Sabah First” mula berkumandang seperti lagu raya yang diputarkan terlalu awal.

Di seberang Laut China Selatan pula, “Sarawak First” sudah lama menjadi semacam jenama politik, lengkap dengan identiti, gaya tersendiri dan keyakinan yang kian menebal.

Pada pandangan pertama, slogan-slogan ini tampak tidak berbahaya. Malah kedengarannya seperti kata-kata motivasi wilayah, “Utamakan negeri kita, bangunkan rakyat kita.”

Masalahnya, politik bukan dunia yang beroperasi sekadar atas maksud. Ia hidup atas tafsiran, dan tafsiran seperti yang kita tahu, bukan selalu berada di tangan orang yang berniat baik.

Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, slogan ini lahir daripada pengalaman panjang. Ketertinggalan pembangunan, pelaksanaan MA63 yang selalu “dalam proses”, dan kekecewaan terhadap dasar yang dianggap terlalu berpusat.

Mereka ada alasan yang kukuh untuk meminta lebih perhatian. Itu fakta, bukan drama.

Namun, apabila slogan ini menjadi umpan politik pilihan raya, ia mula bergerak keluar dari landasan rasional ke jalan yang lebih berliku. Ada yang menggunakannya sebagai simbol tuntutan hak.

Ada pula yang menggunakannya sebagai pentas untuk menunjukkan “kejaguhan politik” masing-masing, kononnya lebih berani, lebih lantang, lebih asli perjuangannya.

Slogan jadi bendera. Bendera jadi identiti. Identiti jadi alat perlawanan, dan di sinilah titik bahaya itu bermula.

Politik identiti wilayah memang mudah mendapat sambutan. Ia menawarkan jalan pintas emosional, “kita” di sini, “mereka” di sana. Dalam sekelip mata, masalah rumit seperti infrastruktur, ekonomi, royalti dan pentadbiran pusat boleh dijelaskan secara sangat mudah: “Ini salah mereka, bukan kita.”

Pendekatan populis seperti ini memang sedap untuk kempen, tetapi jarang baik untuk negara.

Dalam kerangka persekutuan, setiap kali naratif “kami lawan mereka” ditiup, ia tidak mengukuhkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya menipiskan kepercayaan antara wilayah dan pusat. Dan kepercayaan, bila lama sangat ditipiskan, akhirnya luluh, meretak dan sukar dibaiki.

Bukan mustahil suatu hari nanti ada yang mula bertanya: “Kalau kami selalu ‘First’, kenapa pula masih perlu Malaysia?”

Itu bukan realiti undang-undang, tetapi realiti sentimen boleh berubah jauh lebih pantas daripada yang kita jangkakan.

Secara prinsip, tuntutan autonomi Sabah dan Sarawak adalah sah, wajar dan perlu dihormati. Tetapi, jika cara menuntutnya bersifat konfrontatif, bukan lagi kolaboratif, kita akan berhadapan situasi berikut:

1. Persekutuan yang semakin rapuh: Persekutuan ini memerlukan kerjasama, bukan suasana curiga-mencurigai. Bila setiap negeri mula menjerit “First!”, siapa pula yang akan memikul tanggungjawab bersama?

2. Dasar negara jadi bercelaru: Pendidikan satu standard, imigresen satu standard, percukaian satu standard. Semua ini boleh terganggu. Kita tidak mahu tinggal dalam negara yang terlalu banyak “manual berbeza” untuk perkara yang sepatutnya seragam.

3. Politik yang lebih sibuk dengan slogan daripada penyelesaian: Slogan tidak pernah membina jambatan, tidak membuka jalan, tidak menaikkan gaji dan tidak menurunkan harga barang. Tetapi ia boleh menutup perbincangan rasional dan mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.

Dalam dunia ideal, Sabah dan Sarawak diberikan kuasa yang selayaknya, pembangunan yang adil dan penghormatan sebagai rakan pembentuk Malaysia.

Dalam dunia realiti, semua itu hanya boleh dicapai melalui perundingan dan perundangan, bukan dengan slogan yang berapi, tetapi longgar pada detail.

Slogan seperti “First” hanya berfungsi jika ia menjadi suara untuk perkukuh Malaysia, bukan melonggarkan ikatannya. Sebuah rumah yang baik memberi ruang kepada bilik-biliknya, tetapi tidak sampai memisahkan bumbungnya.

Politik yang matang memang kadangkala kelihatan membosankan. Ia penuh mesyuarat. Penuh dokumen. Banyak rundingan. Tiada slogan lantang. Tiada pentas besar. Tiada drama. Tetapi itulah politik sebenar yang membina negara.

Sebaliknya, politik berdasarkan slogan selalu kelihatan meriah, tetapi jarang menyelesaikan masalah. Slogan hanya memberikan ilusi kejelasan dalam dunia yang sangat rumit.

Malaysia bukan perlawanan siapa “First,” siapa “Last”. Negara ini hanya akan bergerak jauh bila semua bersetuju berjalan bersama, bukan berlari ke arah masing-masing sambil menjerit nama sendiri.

Justeru, slogan “Sabah First” dan “Sarawak First” tidak salah. Yang salah ialah membiarkan slogan itu digunakan hingga ia meretakkan kepercayaan, menanam perasaan terpisah dan membina dinding emosi antara wilayah dalam negara sendiri.

Kita harus ingat satu perkara, jika semua orang menuntut untuk berada di depan, lambat laun akan ada yang tertinggal di belakang, dan negara ini tidak boleh menanggung rakyat yang saling menyisihkan antara satu sama lain.

Malaysia bukan medan pertandingan, tetapi sebuah perjalanan panjang yang hanya berjaya jika semua orang melangkah bersama, bukan saling berlumba menjadi yang pertama. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *