Anwar Perlu Bertindak Tegas dalam Isu Surat Sokongan – Marzuki

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil tindakan lebih tegas berhubung isu surat sokongan yang dikeluarkan oleh salah seorang Setiausaha Politiknya bagi sebuah projek hospital kerajaan pada tahun 2024.

Gesaan itu disuarakan Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya, yang menyatakan rasa kecewanya terhadap cara Anwar menangani dakwaan salah guna kuasa melibatkan pegawai kanan tersebut.

Menurutnya, Anwar sepatutnya membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan penuh dapat dilakukan, sekali gus menolak kemungkinan wujud unsur rasuah antara pegawai berkenaan dengan kontraktor terbabit.

Beliau berkata, pendedahan berhubung surat sokongan itu hanya diketahui umum selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PAS), membangkitkannya di Dewan Rakyat.

“Jika tidak didedahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, tindakan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kanan Perdana Menteri tidak akan diketahui umum,” katanya.

Marzuki menegaskan, tindakan mengeluarkan surat sokongan yang berpotensi mempengaruhi proses perolehan kerajaan adalah suatu pelanggaran jelas terhadap peraturan sedia ada dan boleh menimbulkan konflik kepentingan serta salah guna kuasa.

Beliau menambah, perolehan kerajaan mesti bebas daripada campur tangan politik dan tindakan seperti itu menjejaskan integriti proses tersebut.

Mantan Timbalan Menteri Luar ini turut mempertikai kenyataan Anwar di Parlimen, yang beliau hanya memberikan “teguran keras” kepada pegawai berkenaan, yang menurutnya tidak mencukupi untuk menggambarkan ketegasan membanteras salah laku dalam pentadbiran.

“Kelembutan dalam kes salah guna kuasa akan memberi mesej yang salah kepada penjawat awam, masyarakat dan pemain industri,” tegasnya.

Beliau juga memberi amaran, penyelesaian melalui amaran lisan semata-mata boleh mewujudkan persepsi bahawa pelanggaran etika tidak perlu berdepan tindakan tatatertib yang sewajarnya.

Sehubungan itu, Marzuki mendesak supaya siasatan dalaman yang telus dan menyeluruh segera dijalankan, dengan tindakan disiplin diberikan selaras dengan tahap pelanggaran yang berlaku.

Beliau turut menyeru Perdana Menteri menunjukkan komitmen sebenar terhadap prinsip tadbir urus berintegriti.

“Anwar perlu menunjukkan ketegasannya iaitu tiada toleransi terhadap sebarang penyalahgunaan kuasa, walaupun melibatkan individu dalam lingkungan kepimpinan teratas,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *