PN Sedia Pimpin Sabah, Mahu Tamatkan Ketidakstabilan Politik – Tuan Ibrahim

Dari Meja Editorial

“IMPIAN mesti ada, begitu juga dengan cita-cita.” Itulah keyakinan Perikatan Nasional (PN) ketika gabungan itu menyatakan tekadnya untuk menawarkan kepimpinan baharu di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Dalam suasana politik negeri yang sering bergolak dan berubah, PN melihat masa depan Sabah memerlukan pentadbiran yang stabil, berprinsip dan berkeupayaan mengekalkan kesinambungan pembangunan.

Timbalan Presiden PAS yang juga Pimpinan Tertinggi PN Pusat, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, gabungan itu komited untuk membentuk kerajaan negeri yang lebih mantap dan berdaya tahan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Menurut beliau, landskap politik Sabah sejak beberapa siri PRN lalu sentiasa dipenuhi kemunculan parti-parti baharu, menjadikan pertandingan banyak penjuru sesuatu yang lumrah di hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keadaan itu, katanya, mencetuskan perpecahan undi yang besar sehingga kemenangan sesuatu parti tidak semestinya menggambarkan suara majoriti rakyat.

“Dalam suasana tanpa parti dominan, kerajaan yang dibentuk sering kali berdepan risiko ketidakstabilan sehingga mencetuskan amalan lompat parti serta pembelian sokongan wakil rakyat selepas pilihan raya,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau turut mengulas Akta Anti Lompat Parti belum mencapai keberkesanan sepenuhnya, merujuk kepada kes melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun parti mengambil pendirian berbeza.

Mohd Azizi tamak, sengaja guna isu peruntukan untuk sokong Anwar - Tuan Ibrahim
Mohd Azizi tamak, sengaja guna isu peruntukan untuk sokong Anwar – Tuan Ibrahim

“Jika jurang kerusi terlalu kecil di Sabah, perkara sama boleh berulang. Ini bukan retorik, tetapi pengalaman daripada beberapa siri PRN sebelum ini,” tegasnya.

Bagi menghadapi PRN kali ini, PN menampilkan barisan calon yang digambarkan sebagai bersih, berintegriti dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.

Barisan itu dipimpin oleh Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bersama timbalannya, Datuk Dr. Ali Akbar.

Tuan Ibrahim menegaskan, hanya calon yang berwibawa mampu membina kerajaan negeri yang stabil dalam suasana politik Sabah yang kompleks.

Beliau berpandangan, perbincangan pembentukan gabungan lebih awal antara parti-parti di Sabah sebenarnya memberi keuntungan kepada rakyat kerana dapat mengurangkan ketegangan politik.

Namun, realitinya keyakinan setiap parti terhadap kekuatan masing-masing sering menyukarkan usaha penyatuan sebelum PRN berlangsung.

Isu pulangan 40 peratus hasil Sabah, satu perkara yang sering menjadi fokus politik negeri, turut mendapat perhatian PN.

Gabungan itu menyatakan sokongan terhadap pelaksanaannya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, namun bagi PN, persoalan siapa yang menguruskan hasil tersebut adalah sama pentingnya dengan jumlah yang diterima.

“Tiada gunanya pendapatan besar jika ia dipegang oleh mereka yang terpalit rasuah atau salah urus,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau menegaskan, hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip dapat memastikan hasil negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat Sabah, bukan disalurkan kepada segelintir pihak berkepentingan.

Tuan Ibrahim turut menyeru rakyat Sabah agar membuat pilihan yang bijak pada PRN kali ini.

“Sabah berhak mendapat kerajaan yang kukuh, makmur dan bertanggungjawab. PN bersedia memikul amanah tersebut,” tegasnya.

Katanya, dengan cita-cita yang digariskan dan keinginan untuk memimpin Sabah ke arah masa depan lebih stabil, PN kini meletakkan impian itu sebagai sandaran untuk membawa perubahan politik di negeri di bawah bayu, sebuah impian yang dikatakan bukan sekadar slogan, tetapi tekad yang ingin diterjemahkan melalui mandat rakyat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *