LANGKAWI – Angka korban tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand meningkat kepada 29 orang selepas empat lagi mayat ditemukan petang semalam.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, penemuan terbaharu itu melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita, masing-masing ditemui sekitar perairan Tanjung Belua dan Pulau Intan Kecil.
“Seorang mangsa lelaki dewasa turut berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jam 12.49 tengah hari, pada jarak 0.1 batu nautika dari Tanjung Belua. Mangsa dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan petang semalam.
Penemuan pertama dimaklumkan oleh orang awam yang menemui mayat seorang wanita berhampiran Pulau Intan Kecil sebelum dibawa ke jeti oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tidak lama kemudian, Jabatan Laut Malaysia (JLM) melaporkan penemuan mayat seorang lelaki di barat Tanjung Belua, diikuti satu lagi penemuan oleh Kapal Maritim (KM) SIANGIN kira-kira 1.6 batu nautika dari lokasi sama.
Penemuan terakhir direkodkan pada jam 4.13 petang, apabila bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB 1331 menemukan satu lagi mayat lelaki kira-kira satu batu nautika dari Tanjung Belua.
Setakat jam 5.30 petang semalam, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang memasuki hari ketiga berjaya menyelamatkan 14 individu, iaitu 12 lelaki dan dua wanita.
Sehingga kini, 29 mangsa disahkan mati lemas, termasuk sembilan mayat yang ditemukan oleh pihak berkuasa Thailand di perairan negara berkenaan.
Romli turut menyeru orang awam yang menemui mangsa supaya segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
