Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini
SERDANG – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Keusahawanan Universiti dan Pusat Wakaf dan zakat memperluas kerjasama dalam sektor pertanian, halal serta wakaf menerusi beberapa inisiatif bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Kerjasama itu dimeterai di Exporters Lounge sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Serdang serta disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 3 September lalu.
USIM dan LPP memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan Peladang Outlet Cafe @ USIM untuk memperkukuh keusahawanan tani dan pemasaran produk agro.
Peladang Outlet Cafe @ USIM dijangka memperluas akses pasaran bagi produk pertanian serta hasil keluaran peladang, selain mengukuhkan jaringan antara universiti, pertubuhan peladang dan komuniti.
Kerjasama itu turut merangkumi Program PRO Halal LPP bagi meningkatkan pengetahuan dan kompetensi halal dalam kalangan warga serta komuniti di bawah LPP.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, kerjasama itu membolehkan kepakaran USIM dalam bidang halal, keusahawanan dan pembangunan komuniti dimanfaatkan oleh LPP serta komuniti peladang.
“USIM melihat kerjasama strategik seperti ini sebagai peluang untuk menterjemahkan ilmu dan kepakaran universiti kepada penyelesaian memberi nilai tambah untuk masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam inisiatif berasingan, LPP, USIM dan Wakaf Pahang bekerjasama melaksanakan projek penternakan ikan talapia menggunakan Sistem Teknologi Bioflok di tanah wakaf Kampung Som, Jerantut, Pahang.
Projek itu turut melibatkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jerantut dalam aspek pengoperasian dan penglibatan komuniti setempat.
Teknologi bioflok dijangka meningkatkan kecekapan penternakan ikan serta membantu memanfaatkan tanah wakaf secara lebih produktif untuk manfaat ekonomi komuniti.
Dalam majlis sama, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan USIM turut memeterai Suratcara Pelantikan Mutawalli Khas bagi membolehkan USIM mengurus pembangunan tanah wakaf di Kampung Som.
Kerjasama ini memperkukuh peranan USIM dalam menghubungkan kepakaran akademik, pembangunan halal, teknologi pertanian dan pengurusan wakaf untuk manfaat komuniti serta sektor agromakanan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
