Ewon Benedick Umum Letak Jawatan Kabinet, Tegas Pertahan Hak 40 Peratus Sabah

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ewon berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, terhadap semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Menurutnya, pandangan dan pendirian AGC seperti yang dinyatakan dalam penghakiman itu mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia seperti termaktub dalam dokumen asas perlembagaan, termasuk Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Malaysia.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian AGC yang jelas bertentangan dengan prinsip perjuangan UPKO dan hak-hak Sabah yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau menyifatkan tidak wajar untuk terus berada dalam Kabinet Persekutuan sedangkan AGC sebagai penasihat undang-undang kerajaan mengekalkan pandangan yang bercanggah dengan semangat MA63 dan hak 40 peratus Sabah.

Ewon turut mengingatkan bahawa beliau sendiri pernah memfailkan Saman Pemula terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022 berkaitan isu sama, sebelum menarik balik saman tersebut pada September 2023 atas semangat perundingan.

“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah itu dilaksanakan sepenuhnya. Itulah prinsip dan sebab saya menyertai politik,” tegas beliau.

Ewon menambah, beliau kekal dengan pendirian bahawa AGC tidak sepatutnya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah bagi melaksanakan hak 40 peratus tersebut.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas ruang yang diberikan kepadanya dalam Kabinet Persekutuan untuk memperjuangkan isu hak Sabah.

“Saya akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk memaklumkan perletakan jawatan saya,” ujarnya.

Sebagai langkah susulan, Ewon akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin depan bagi membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas hala tuju parti itu.

Kenyataan beliau mengulangi komitmen UPKO terhadap perjuangan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *