Ugut, tengking anggota RELA bertugas boleh disiasat halang tugas penjawat awam

JOHOR BAHRU – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengingatkan orang ramai agar menghormati setiap penjawat awam yang menjalankan tugas di lapangan, termasuk anggota RELA.

Dalam kenyataan semalam, RELA memaklumkan setiap anggota pasukan itu adalah penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.

“Justeru sebarang tindakan menghalang, mengugut atau menengking mereka ketika bertugas boleh disiasat mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu susulan insiden tular membabitkan seorang anggota RELA yang ditegur secara kasar oleh orang awam di Terminal Bas Johor Bahru Sentral, Bangunan Sultan Iskandar, baru-baru ini.

RELA memaklumkan kejadian itu pada Selasa lalu, berlaku ketika anggota berkenaan sedang membantu mengawal kelancaran pergerakan orang awam dan keselamatan di kawasan terminal berkenaan.

Anggota terbabit telah ditegur secara kasar oleh seorang individu yang tidak berpuas hati selepas diminta mematuhi laluan ditetapkan ketika hendak menggunakan perkhidmatan bas.

Dalam pada itu, RELA turut menzahirkan penghargaan kepada anggota berkenaan yang kekal berhemah dan profesional ketika berdepan situasi tegang tanpa sebarang provokasi.

“Bagi mengekal dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di lapangan, latihan serta bimbingan berterusan akan terus diberikan kepada semua anggota,” menurut RELA.

Semalam, polis memaklumkan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa terbabit dalam insiden berkenaan.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 58 saat memaparkan seorang lelaki bertindak menengking anggota RELA yang dipercayai warga emas yang memberi arahan ketika sedang bertugas.

Insiden itu turut memaparkan seorang wanita cuba menenangkan lelaki itu dan video tersebut mengundang pelbagai komen yang bersimpati terhadap anggota RELA terbabit. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *