Pembinaan bangunan terpanjang dunia The Line dilaporkan bermasalah

ARAB Saudi dilapor akan mengecilkan skala projek mega The Line di Neom susulan pelbagai cabaran teknikal dan kewangan.

Menurut laporan Financial Times, rekaan asal sepanjang 170 kilometer dan setinggi 500 meter itu didapati melanggar hukum fizik serta tidak praktikal dari sudut seni bina.

Fasa pertama pembinaan Hidden Marina telah dimulakan, menampilkan pelabuhan kapal dan gerbang gergasi dengan lampu candelier bersaiz mega.

Namun, jurutera mendapati struktur candelier tersebut tidak boleh dibina kerana akan bergoyang secara berterusan sehingga berisiko musnah sendiri.

Kos keseluruhan projek kini melonjak kepada lebih $4.5 trilion, berbanding anggaran asal sekitar $1 trilion.

Ini menjadikan The Line sebagai antara projek paling mahal dalam sejarah moden, melebihi 10 kali ganda KDNK Malaysia 2024.

Selain itu, pembinaan fasa Hidden Marina sahaja dijangka menggunakan sehingga 20 peratus keperluan keluli global, sekali gus memberi tekanan kepada pasaran bahan binaan dunia.

Disebabkan faktor kos dan cabaran teknikal, perancangan asal untuk membina 20 modul sepanjang 16 kilometer telah dikecilkan kepada hanya tiga modul.

Modul ini akan menempatkan pelabuhan, kawasan kediaman dan stadium tertinggi dunia yang dirancang untuk digunakan semasa Piala Dunia FIFA 2034.

Projek The Line bukan satu-satunya yang berdepan masalah. Projek ski mewah Trojena, yang dijadual menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029, kini berdepan risiko kelewatan dan manipulasi kos, manakala pusat peranginan Sindalah masih belum dibuka kepada umum walaupun telah dilancarkan secara eksklusif pada Oktober tahun lalu.

Kesemua projek ini merupakan sebahagian daripada usaha Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mengubah imej Arab Saudi daripada negara pengeluar minyak kepada destinasi pelancongan dan teknologi utama dunia. –Amanz

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *