PETALING JAYA – PAS memilih tidak menamakan calon Perdana Menteri kerana menyedari parti itu belum mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, mantan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, PAS sedar mereka tidak mampu memenangi kerusi yang cukup untuk menguasai Putrajaya tanpa sokongan lebih meluas, terutama di luar kawasan tradisi mereka di Pantai Timur.
Menurutnya, menamakan calon Perdana Menteri terlalu awal boleh menyebabkan parti itu sukar meraih sokongan lebih besar daripada pengundi dari negeri-negeri lain.
“PAS tahu mereka tidak boleh jadi Perdana Menteri hanya dengan kekuatan sendiri. Mereka perlukan sokongan parti lain di seluruh negara.
“Jumlah kerusi yang mereka ada tidak cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan. Jadi mereka perlu bergabung dengan parti lain. Sebab itulah mereka tidak menamakan calon Perdana Menteri.
“Mereka boleh terima jika ada beberapa nama dipertimbangkan dan terbuka memilih mana-mana yang paling sesuai.
“Tapi, mereka lebih berhati-hati untuk umumkan awal kerana bimbang itu akan menyukarkan mereka mendapat sokongan sepenuhnya,” kata Dr. Mahathir.
Pada masa ini, PAS mempunyai 43 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak, mengatasi DAP, PKR dan juga rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu.
Isu calon Perdana Menteri dari PN turut menjadi tumpuan menjelang PRU16, yang perlu diadakan selewat-lewatnya awal 2028.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu belum memutuskan calon untuk jawatan berkenaan dan perkara itu juga belum dibincangkan di peringkat PAS mahupun PN.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini turut menegaskan parti itu mahu memberi tumpuan kepada kemenangan PRU16 terlebih dahulu, sebelum memikirkan calon Perdana Menteri.
Ketika muktamar parti pada September lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS mempunyai ramai tokoh berkelayakan untuk memegang jawatan tersebut, namun mereka tidak mahu menunjolkan diri kerana menganggap tugas itu sangat berat.
Pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berlangsung sebelum ini, parti itu menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Sanusi Nor kemudian mengingatkan keputusan sedemikian harus mendapat persetujuan semua parti dalam gabungan PN.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
