Kedaulatan Halal Malaysia Perlu Kekal Terpelihara Dalam Perjanjian Dagang Malaysia–Amerika – Dr. Mujahid

KUALA LUMPUR – Parti Amanah menegaskan, sistem pensijilan halal Malaysia harus kekal berdaulat dan tidak akan terjejas oleh Perjanjian Dagang Timbal Balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, perjanjian tersebut antara lain menyatakan tentang standard halal iaitu Malaysia shall streamline procedures for halal certification of U.S. food and agricultural exports while maintaining domestic regulatory authority.

Sehubungan itu, katanya, Amanah menggesa kerajaan Malaysia berpendirian tegas supaya kedaulatan halal negara dipertahankan, di mana JAKIM kekal sebagai badan berautoriti tunggal sebagai penentu kepada segala produk makanan dan pertanian yang memasuki negara ini daripada AS.

“Malaysia hanya bersetuju untuk memperkemas prosedur import makanan dan pertanian, bukan bermakna melonggarkan standard halal yang sedia ada.

“Oleh itu, kita berpandangan, isu halal perlu dilihat melalui lensa Siyasah Syar‘iyyah iaitu politik pentadbiran berasaskan hikmah dan maslahat.

“Dalam konteks ini, pemerintah wajib memastikan kemaslahatan ekonomi rakyat dapat dicapai tanpa menjejaskan prinsip syarak atau melonggarkan keperluan halal demi memenuhi perjanjian. Standard halal Malaysia perlu kekal unggul dan yang terbaik di dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Madani perlu memastikan setiap sijil halal asing yang hendak diiktiraf mesti melalui proses audit JAKIM dan kekal di bawah senarai Foreign Halal Certification Bodies rasmi.

Malaysia juga katanya, harus mengekalkan dasar “Halal Sovereignty” iaitu kawalan penuh terhadap label halal, sumber bahan mentah dan rantaian bekalan makanan yang masuk ke negara ini.

“Kita mengalu-alukan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Pematuhan Halal Nasional yang akan melibatkan JAKIM, MITI dan KPDN untuk menilai sebarang isu teknikal berkaitan produk import dari Amerika.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjaga kepercayaan umat Islam, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal Global Dunia Islam,” ujar beliau.

Kata Dr. Mujahid, parti Amanah pada masa sama menggesa kerajaan melalui perjanjian itu supaya meningkatkan lagi keupayaan dan kapasiti industri halal melalui pendigitilan lebih agresif seperti pemerkasaan Halal Digital Chain (HDC 2.0) bagi tujuan traceability (kebolehcarian punca) berasaskan blockchain.

“Keperluan ini adalah untuk menyaingi perundangan ketelusan makanan Amerika yang telah diamalkan, tetapi apa yang dikhuatiri ialah banjiran produk pemakanan hendak masuk ke negara ini tidak sepadan dengan kapasiti tenaga kerja dan melambatkan proses.

“Justeru, keperluan teknologi terkini melalui AI, IoT dan penyimpanan data yang efektif dapat membantu mengurangkan bebanan kerja manual.

“Selain itu, Amanah mencadangkan Akta Keselamatan Label Halal secara khusus di bawah pengawasan JAKIM digubal pada kadar segera supaya standard halal tidak dimanipulasikan, khususnya jika barangan import dari AS mula membanjiri pasaran negara,” katanya.

Beliau menyatakan, setakat ini keselamatan penggunaan label halal hanyalah dikuatkuasakan melalui akta perihal dagangan di bawah KPDNKK.

“Serentak itu, Amanah menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meluaskan hubungan ekonomi antarabangsa, tetapi mengingatkan pada waktu yang sama supaya sentiasa memelihara kemaslahatan nasional khususnya kedaulatan halal dan maruah negara.

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *