SISTEM pendidikan negara kini seolah kehilangan kompas. Arah tuju kabur, dasar sering bertukar dan setiap kali perubahan diumumkan, guru serta murid menjadi bahan eksperimen.
Di atas kertas, semuanya nampak canggih dan berwawasan, tetapi di bilik darjah, hasilnya jauh daripada memuaskan.
Namun, jika kita benar-benar mahu menyembuhkan sistem pendidikan yang sedang sakit ini, Ketua Jabatan di UPM dan Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kelantan, Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan ada ubatnya. Beliau menyediakan enam langkah yang perlu dilaksanakan dengan jujur, berani dan tanpa topeng politik.
Enam langkah itu ialah;
1. Berhenti Melantik Orang Cetek Akal yang Pandai Berlakon Bijak
Pendidikan di sesebuah negara jadi bahan lawak bukan sebab murid tak pandai, tapi sebab dasar dibuat oleh manusia yang fikir mereka “visionary”, padahal tak faham beza antara teori dan realiti.
Yang mereka tahu cuma mencipta istilah kosong dan melancarkan pelan lima tahun yang berakhir dengan kegagalan lima kali ganda. Akibatnya, ramai murid tercicir dalam pelbagai aspek akademik dan sahsiah.
Inilah ibu atau punca segala kerosakan dalam sistem pendidikan. Ingat, belajar tinggi atau ada PhD tidak semestinya cerdik, ramai yang hanya tin kosong bersuara kuat.
2. Pulangkan kuasa mendidik kepada guru, bukan kepada ibu bapa yang berlagak pandai
Sekarang guru ditekan, ibu bapa mendominasi dan murid jadi raja. Cikgu nak menegur pun takut, sebab ada mak bapa yang datang sekolah esok dan pukul cikgu. Wujudkan undang-undang jelas: urusan sekolah adalah hak sekolah. Kalau ibu bapa nak tunjuk pandai, silakan buka sekolah sendiri.
3. Hapuskan beban kerja sampah yang melumpuhkan guru
Cikgu sekarang jadi hamba sistem. Isi borang, ambil gambar, ikut program “kreatif” yang tidak ada hasil. Bila murid gagal, cikgu dipersalahkan, padahal masa mengajar pun sudah dicuri.
Kalau sistem benar-benar percaya kepada guru, biarkan mereka mendidik. Beri ruang untuk fokus pada apa yang penting, dengan garis panduan yang jelas.
Guru tahu apa berlaku dalam bilik darjah dan tahu apa berkesan serta apa yang tidak. Jika diberi ruang, tempoh persekolahan lima atau enam tahun sudah cukup untuk memberi tumpuan kepada setiap murid tanpa gangguan kerja yang tidak berfaedah.
4. Pulihkan semula makna disiplin
Zaman sekarang, bila cikgu rotan, viral. Bila murid kurang ajar, senyap. Sistem yang takut pada rotan akan melahirkan generasi yang manja dan tidak takut kepada undang-undang.
Tidak ramai remaja benar-benar “sakit mental” hingga menyusahkan diri sendiri. Yang lebih ramai ialah remaja menggunakan alasan itu untuk menyusahkan orang lain.
Beri kuasa kepada beberapa individu terpilih di sekolah untuk mendisiplinkan murid dengan garis panduan yang jelas, bukan dengan ketakutan politik. Wujudkan peraturan baharu mengenai kuasa merotan yang jelas, tegas, dan terhad kepada pegawai yang layak. Hidupkan semula sistem duty-roster di setiap kelas, supaya disiplin jadi budaya, bukan drama mingguan di TikTok.
5. Peperiksaan bukan musuh, kejahilan mereka yang menulis silibus itu musuh sebenar.
Kembalikan sistem peperiksaan supaya kita tahu tahap sebenar murid. Kurangkan bilangan subjek jika perlu. Buang silibus yang berat, tidak relevan, dan terlalu akademik sampai murid hilang minat belajar. Ajar perkara berguna: cara berfikir, cara berkomunikasi, cara hidup.
Ini untuk mengelakkan keciciran murid. Tahap kemahiran kognitif tinggi hanya sesuai untuk pelajar tertentu. ‘Bukan semua orang mahu jadi Saintis!’. Ada yang cuma mahu hidup bermaruah. Ingat, pendidikan bukan hanya untuk mereka yang tinggi IQ.
Ramai lagi yang biasa-biasa tetapi mahu belajar dan menyumbang kepada masyarakat. Sistem yang ada sekarang hanya sibuk mencari pelajar paling pandai dalam kalangan yang sudah pun pandai.
6. Berhenti menyembah sistem Barat.
Kita terlalu ghairah mahu nampak maju sampai sanggup meniru bangsa yang sedang reput. Anak-anak mereka hilang hormat, keluarga mereka berpecah, tetapi entah kenapa kita anggap itu kemajuan.
Negara Barat kaya, anak mereka tidak ramai, mereka boleh buat apa sahaja kerana sistem mereka disusun mengikut gaya hidup individu, bukan keluarga. Kita pula masyarakat Islam sedang membangun, anak ramai, sumber terhad, dan realitinya berbeza sama sekali.
Bila kita tiru mereka bulat-bulat, sistem kita runtuh sebelum sempat berdiri. Di Barat, budak umur sembilan tahun sudah bercakap kurang ajar dengan mak bapak, gadis belasan tahun sudah membawa teman lelaki tidur ke rumah, dan bila tua, semua bersedia mati di rumah orang tua, bukan dalam keluarga. Kita sibuk mahu jadi seperti mereka, padahal mereka bangsa yang sedang reput. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
