PUTRAJAYA – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid menggesa rakyat Malaysia kembali kepada asas kekuatan negara, iaitu ikatan dan penyatuan dalam usaha menyelamatkan negara dari kemelut kepimpinan, tekanan ekonomi dan kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan.
Menurut beliau, sejarah tidak pernah menipu dan sentiasa menjadi cermin kepada masa depan bangsa dan mereka yang enggan belajar daripada sejarah akan terus mengulangi kesilapan sama sehingga menjejaskan kemajuan negara.
“Kejayaan besar dalam sejarah tanah air seperti penentangan terhadap Malayan Union serta perjuangan menuntut kemerdekaan hanya tercapai kerana wujudnya kesatuan antara semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Kesepaduan itu jugalah yang membolehkan negara mencapai kemajuan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) selama beberapa dekad,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Rafique menegaskan, struktur BN yang menggabungkan parti pelbagai kaum dengan UMNO sebagai teras utama bersama parti kaum Cina, India dan komponen lain di Sabah serta Sarawak merupakan formula kejayaan yang telah membawa Malaysia ke arah kemajuan pesat.
Menurut beliau, kejayaan itu berpaksikan kepada kontrak sosial yang mengimbangi hak-hak orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tanpa mengabaikan hak-hak kaum lain.
“Inilah resepi sebenar kejayaan Malaysia dahulu. Prinsip saling menghormati dan menjamin hak semua pihak menjadi asas kepada kestabilan nasional,” tambahnya.
Namun, Rafique berkata, kemerosotan dan kejatuhan BN pada 2018 menjadi pengajaran penting apabila parti itu tewas akibat kelemahan dalaman, kepentingan individu tertentu dan kegagalan memelihara semangat perpaduan yang pernah menjadi asas kekuatannya.
Beliau turut mengakui kejatuhan BN ketika itu turut disumbangkan oleh kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berjaya menyatukan semua pihak yang menginginkan perubahan politik di bawah satu payung baharu, iaitu Pakatan Harapan (PH) 1.0.
“Gabungan itu berjaya menawarkan alternatif kepada rakyat yang selama ini hanya mengenali satu kuasa politik di peringkat pusat. Kesatuan tersebut membawa kepada kemenangan bersejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018,” katanya.
Namun, menurut Rafique, selepas tujuh tahun berlalu, sejarah kini kembali berulang apabila pentadbiran baharu yang digelar PH 2.0 dilihat semakin kehilangan arah dan sokongan rakyat.
Beliau menyifatkan kerajaan hari ini sebagai “kakistokrasi”, yakni pemerintahan oleh mereka yang lebih gemar dipuji daripada melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berkesan.
“Rakyat kini menzahirkan kekecewaan secara terbuka. Dari isu kos sara hidup semakin tinggi, kelemahan pengurusan ekonomi hingga kepada pelaksanaan dasar yang membebankan rakyat. Kerajaan ini jelas gagal menunaikan janji serta menyalahgunakan kepercayaan diberikan,” jelas beliau.
Rafique berpandangan, keadaan negara hari ini menuntut kewujudan satu gabungan baharu yang dapat mengembalikan kepercayaan rakyat serta mengangkat suara mereka yang semakin terpinggir.
Menurutnya, inisiatif seperti Payung Melayu dan Ikatan Prihatin Rakyat merupakan antara langkah awal ke arah membentuk gerakan politik dan sosial yang benar-benar prihatin terhadap nasib rakyat.
“Matlamatnya jelas – kesatuan semua pihak yang berkongsi niat serupa, untuk membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan integriti, kecekapan dan kepedulian terhadap rakyat. Ia bukan sekadar perjuangan politik, tetapi satu misi kebangsaan,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, gabungan baharu ini perlu memberi tumpuan kepada isu-isu sebenar yang membelenggu rakyat, termasuk peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global dan serantau serta cabaran sosial dan keselamatan dalam negara.
Antara isu yang dibangkitkan termasuklah kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang URA, Akta Pemerolehan serta ancaman terhadap keselamatan sekolah dan perubahan iklim yang semakin meruncing.
“Semua isu ini membabitkan rakyat pelbagai lapisan, bukan hanya tertumpu kepada kaum tertentu. Ini perjuangan untuk seluruh rakyat Malaysia,” tegas Rafique.
Beliau menyeru semua pihak yang berkongsi nilai dan aspirasi sama agar mengetepikan perbezaan kecil serta membina satu barisan kukuh bagi menentang kepimpinan yang gagal mentadbir negara.
“Kita tiada pilihan lain. Malaysia mesti diselamatkan. Sejarah telah membuktikan bahawa hanya melalui ikatan dan penyatuan kita dapat mencipta perubahan besar,” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat kini berada diambang kebangkitan baharu dan gerakan penyatuan ini akan menjadi asas kepada perjuangan untuk mengembalikan maruah negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001