CENTHRA Kecam Keras Tindakan Melampau Rejim Israel terhadap Misi Global Sumud Flotilla

KUALA LUMPUR – Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mengecam sekeras-kerasnya tindakan agresif rejim Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disifatkan sebagai satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan rasmi CENTHRA, sekatan laut yang dikenakan Israel ke atas Gaza adalah haram menurut San Remo Manual (Artikel 102) kerana menjejaskan kehidupan penduduk awam serta menghalang penyaluran bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pendapat nasihatnya pada Julai 2024 turut menegaskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah dan menyeru semua negara agar memastikan pematuhan kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta menghormati hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.

Misi Global Sumud Flotilla, termasuk penyertaan delegasi dari Malaysia di bawah inisiatif Sumud Nusantara adalah misi aman dan bersifat kemanusiaan sepenuhnya.

Ia dijalankan bagi menegakkan hak kebebasan pelayaran antarabangsa seperti yang termaktub dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS, Artikel 87).

Tindakan rejim Israel menghalang serta menahan kapal-kapal flotilla tersebut merupakan pelanggaran undang-undang laut antarabangsa, tegas CENTHRA.

“Sebagai kuasa pendudukan yang tidak sah, Israel mempunyai tanggungjawab di bawah Konvensyen Geneva Keempat dan Protokol Tambahan I untuk memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan sampai ke Gaza.

“Sebaliknya, rejim ini terus menggunakan kelaparan sebagai senjata perang, suatu jenayah yang turut menjadi asas kepada waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant,” jelas kenyataan itu.

Tindakan Israel juga membahayakan nyawa para penumpang kapal dan mencabul hak asasi untuk hidup, kebebasan dan keselamatan seperti yang dijamin di bawah International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), khususnya Artikel 7 dan 9.

Sehubungan itu, CENTHRA menuntut agar Israel segera membebaskan semua aktivis Global Sumud Flotilla, termasuk kesemua delegasi Sumud Nusantara dari Malaysia; dengan pampasan diberikan kepada semua mangsa dan pemilik kapal flotilla; serta masyarakat antarabangsa, termasuk negara anggota PBB dan pertubuhan masyarakat sivil, bertindak segera menghentikan segala pencabulan hak asasi manusia dan jenayah terhadap kemanusiaan oleh Israel, termasuk genosid yang sedang berlaku di Gaza.

CENTHRA memaklumkan, lima aktivis undang-undang hak asasi manusia daripada pihaknya kini berada di Amman, Jordan untuk memastikan semua aktivis rakyat Malaysia yang terlibat menerima perlindungan undang-undang yang telus dan adil.

Selain itu, CENTHRA turut bekerjasama rapat dengan organisasi hak asasi manusia berpengkalan di Israel, Adalah – The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel, bagi memastikan semua proses perundangan antarabangsa dihormati serta prinsip hak asasi manusia ditegakkan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *