HARI kedua Bengkel Penulisan Skrip Teater Siri Kedua dan Persembahan Monolog di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Kassim di Kampung Cita Jaya, Tanah Merah, Kelantan terus mempamerkan denyut nadi seni yang segar dengan gabungan latihan intensif, wacana sejarah dan jamuan tradisi Kelantan yang mengujakan.
Sesi pagi bengkel anjuran Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) dimulakan dengan latihan persembahan yang penuh tumpuan. Antara yang mencuri perhatian ialah naskhah “Pak Sastro” karya Kassim Muhamad, yang juga melakonkan watak utamanya, dengan gandingan bersama Cikgu Jamly Bahruldin yang menjiwai watak Ikhtiraf.
Kisah satira ini menyingkap realiti getir dunia kesusasteraan, mengkritik sikap sesetengah pihak yang rakus dan berkepentingan sehingga merosakkan akar budi sastera, seolah meminggirkan nilai sejati demi kepentingan peribadi.
Tidak kurang menarik ialah monolog karya Syarifah Khadijah Al-Jufri bertajuk “Oh Siti! Kenapa Siti?”. Pementasan penuh sindiran halus ini mengisahkan seorang tokoh besar sastera enggan menghadiri program sastera di desa yang disaksikan masyarakat kampung, sebaliknya lebih mengutamakan acara di hotel mewah yang dihadiri golongan kenamaan dan VVIP.

Penceritaan Syarifah Khadijah mengusik hati khalayak dengan pertanyaan mengenai sikap segelintir penggiat seni yang mungkin semakin jauh daripada akar masyarakat.
Tepat jam 11 pagi, seluruh peserta bengkel yang diketuai Datuk Dinsman bergerak ke Kampung Lalang Luas, Labok, Machang untuk kunjungan hormat ke kediaman Yang Dipertua Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM).
Rombongan disambut mesra oleh Yang Mulia Bonda Fadzillah Hussin, bersama Penasihat Akademi pertubuhan Dr. Sanusi Mat Yajid; Penasihat Senjata Purba pertubuhan, Cikgu Nordin Abd. Hamid; Bendahari Noatiqi Rasidi dan beberapa AJK.
Dalam sesi penuh mesra dan sarat ilmu itu, Bonda Fadzillah menyingkapkan kisah leluhur PWPPRCSWKM yang berpaut pada warisan Cik Siti Wan Kembang Pertama bergelar Puteri Adruja Wijayamala Singha.

Beliau menjelaskan bagaimana pertubuhan tersebut gigih menjaga khazanah adat dan ilmu pusaka agar tidak luput ditelan zaman.
Menyahut perkongsian itu, Datuk Dinsman menyatakan minat mendalam PAKSI untuk mengangkat sejarah epik purba Cik Siti Wan Kembang ke pentas teater.
Beliau turut menyebut naskhah “Puteri Saadong” karya Manzaidi Mohd Amin, salah seorang peserta bengkel, sebagai contoh usaha yang selari dengan visi tersebut.
Pertemuan itu bertukar menjadi ruang dialog dua hala, mempertemukan wacana seni dan warisan dalam suasana penuh hormat.
Sebagai tanda mesra, tuan rumah menghidangkan jamuan tradisi Kelantan yang menggoda selera: singgang ikan aya (tongkol), ulam cekur mangga, rebung, budu, tempoyak, ayam percik dan sambal udang petai.

Hidangan kampung yang asli ini menambahkan kemanisan kenangan, sebelum pertemuan berakhir sekitar jam 2.30 petang.
Kembali ke Rumah Kebun, peserta meneruskan sesi latihan monolog di bawah bimbingan Datuk Dinsman. Watak-watak dihidupkan dengan penuh penghayatan oleh Kassim Muhamad, Sharifah Naina Mohamad, Syarifah Khadijah Al Jufri dan Jamly Bahruldin.
Latihan berlanjutan hingga lewat malam, mencerminkan kesungguhan mereka menyiapkan persembahan dan menajamkan kemahiran teater masing-masing.
Hari kedua bengkel ini bukan sahaja menjadi wadah latihan seni, malah memperkaya peserta dengan nilai warisan dan jalinan ukhuwah budaya, menegaskan bahawa teater adalah jambatan antara sejarah, masyarakat dan kreativiti yang tidak pernah lekang ditelan masa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Kunjungan ke Rumah Bonda :- Leluhur bangsa dan sudut pandangan yang menyatukan denyur nadi peserta untuk menyedari kepentingan susur galur yang berusia hampir 900 tahun negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. Direalisasi pula dengan gabungan bengkel yang bakal mencetuskan satu dmensi baru dan segar
Ya, begitulah.. PAKSI melangkah semakin jauh, tanpa menoleh ke belakang lagi..