KUALA LUMPUR – Jenazah pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin tiba di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, pagi ini.
Berita Harian melaporkan, jenazah Allahyarham tiba jam 10.27 pagi menaiki van jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi pasukan juru iring.
Tinjauan di lokasi mendapati keadaan di luar bilik mayat tenang, tiada kehadiran keluarga Allahyarham di luar premis setakat ini.
Terdahulu, media melaporkan, proses penggalian kubur Allahyarham dimulakan jam 8.15 pagi.
Tinjauan di lokasi mendapati ahli keluarga Syamsul Haris berkumpul di hadapan Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, di sini, seawal jam 7.15 pagi tadi.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001