Dari Meja Editorial
NEGARA sekali lagi dikejutkan dengan tragedi melibatkan kes buli dalam kalangan pelajar di sekolah.
Selepas kes tragis Allahyarham adik Zara Qairina Mahathir yang meninggalkan luka mendalam dalam hati rakyat Malaysia, hari ini muncul pula berita menyayat hati apabila seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama di Sabak Bernam dilaporkan jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, dipercayai berkaitan dengan insiden buli.
Kejadian ini mengundang semula persoalan besar, mengapa kes buli masih berterusan walaupun pelbagai kempen, amaran dan tindakan undang-undang telah dilakukan?
Adakah budaya buli sudah membarah hingga sukar dibendung? Atau adakah pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat masih leka dalam menangani isu ini?
Buli bukan sekadar menumbuk, menendang atau memeras ugut. Ia juga melibatkan penghinaan, tekanan emosi, pengasingan sosial, ugutan, malah eksploitasi dalam bentuk kerja paksa atau “ragging”.
Kajian menunjukkan mangsa buli sering mengalami trauma jangka panjang seperti tekanan emosi dan kemurungan – mangsa kehilangan keyakinan diri.
Keciciran akademik, hilang fokus belajar kerana ketakutan berterusan.
Masalah kesihatan mental seperti insomnia, keresahan, bahkan kecenderungan membunuh diri.
Hubungan sosial terjejas. Mangsa sering mengasingkan diri, sukar mempercayai orang lain.
Tragedi yang berlaku di Sabak Bernam hari ini adalah bukti nyata bahawa buli boleh membawa padah sehingga meragut nyawa, sama ada melalui tindakan agresif pelaku atau desakan emosi yang tidak tertanggung oleh mangsa.
Kenapa buli masih berlaku? Ada beberapa punca. Antaranya, budaya senyap di asrama dan sekolah.
Ramai mangsa takut melapor kerana bimbang dibalas dendam, dipandang lemah atau tidak dipercayai oleh pihak berkuasa sekolah.
Kekurangan pemantauan seperti kawasan asrama sering menjadi “zon bebas guru” pada waktu malam, memberi ruang kepada pelajar senior menindas junior.
Normalisasi buli. Sesetengah pelajar, malah bekas pelajar menganggap buli sebagai “proses mendewasakan” atau “tradisi senioriti” iaitu satu tanggapan berbahaya yang harus dihentikan.
Pengaruh sosial dan media. Perkongsian video buli di media sosial memberi publisiti kepada pelaku, menjadikan mereka berasa ‘berkuasa’ dan tidak gentar dengan hukuman.
Kelemahan tindakan disiplin; hukuman yang tidak konsisten serta sikap “menutup kes demi menjaga nama sekolah” menjadikan masalah ini berlarutan.
Kebimbangan rakyat; tragedi demi tragedi telah membuka mata masyarakat. Ibu bapa kini bimbang menghantar anak ke sekolah berasrama. Ramai mula meragui keberkesanan sistem disiplin sekolah, malah ada yang mendesak agar tindakan undang-undang lebih tegas diambil terhadap pelaku buli, bukan sekadar gantung sekolah, tetapi juga proses mahkamah juvana.
Lebih membimbangkan, jika kes seperti ini dibiarkan, ia boleh menular menjadi krisis sosial lebih besar sehingga melahirkan generasi yang hilang empati, keras hati dan normalisasi keganasan sejak remaja.
Justeru, cadangan mengatasi kes buli secara menyeluruh ialah pendekatan multi-dimensi perlu dilaksanakan, melibatkan sekolah, ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.
Akta Anti-Buli Sekolah; kerajaan perlu menggubal undang-undang khusus yang memberi kuasa kepada pihak berwajib untuk menghukum pelaku buli dengan lebih serius.
Sistem Aduan Rahsia & Perlindungan Mangsa; wujudkan aplikasi atau talian aduan rahsia di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), di mana pelajar boleh melapor tanpa takut dikenakan tindakan balas.
Pemantauan 24 Jam di Asrama; guru warden perlu diperkukuh, dengan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan strategik asrama.
Program Pendidikan Empati; modul khas membina sahsiah pelajar perlu diperkenalkan – menekankan nilai belas ihsan, tolong menolong dan memahami kesan buli.
Kerjasama Ibu Bapa; PIBG perlu lebih proaktif. Ibu bapa tidak boleh menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah. Pemantauan sikap anak di rumah juga sangat penting.
Intervensi Psikologi untuk Mangsa & Pelaku; kedua-dua pihak iaitu mangsa dan pembuli memerlukan sesi kaunseling. Mangsa untuk memulihkan trauma, pelaku pula untuk membetulkan sikap dan memahami akibat perbuatannya.
Tragedi Allahyarham adik Zara Qairina dan kejadian pelajar tingkatan tiga di Sabak Bernam ini bukan sekadar statistik kes buli, sebaliknya amaran keras bahawa sistem kita masih bocor.
Buli bukan lagi isu remeh. Ia adalah jenayah yang meragut masa depan anak bangsa. Sudah tiba masanya semua pihak menghentikan budaya menutup mata dan mengambil tindakan drastik sebelum lebih banyak nyawa remaja melayang.
Masyarakat perlu sedar, setiap anak yang menjadi mangsa buli adalah tanggungjawab kita semua. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001