LONDON – Cristiano Ronaldo sememangnya diraikan sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat dalam sejarah, namun personaliti panas baran dan sifat kompetitifnya sering mengundang kritikan.
Terbaharu, bekas penyerang Osasuna dari Uruguay, Walter Pandiani mengimbau kembali insiden tegang bersama bintang Portugal itu dengan melabelnya sebagai “seorang yang angkuh.”
Bercakap kepada media Sepanyol, AS, Pandiani mendedahkan insiden itu berlaku ketika Real Madrid menentang Osasuna dalam saingan La Liga.
Suasana ketika itu sudah tegang, dengan penyokong tuan rumah menunjukkan rasa tidak senang terhadap Ronaldo sejak awal sesi memanas badan.
“Penyokong Osasuna terlalu beremosi. Mereka akan bersiul dan menghina sebaik sahaja dia keluar untuk memanaskan badan. Itu membuatkannya marah dan ketika berlatih sepakan percuma, dia sengaja menyepak bola ke arah penonton,” kata Pandiani.
Ketegangan berlarutan di tengah padang apabila Ronaldo dilaporkan menolak rakan sepasukan Pandiani, Javier Camunas. Tindakan itu memaksa Pandiani campur tangan dan pertengkaran tercetus.
“Ketika satu situasi sepakan percuma memihak Madrid, Cristiano menolak Javier Camunas dan saya datang mempertahankannya. Saya menolak Cristiano, dia kemudian bertanya siapa saya dan berapa gaji saya,” dedah Pandiani.
Perselisihan itu berterusan di terowong menuju bilik persalinan, apabila Ronaldo dan Sergio Ramos dikatakan terus mencabar Pandiani.
“Pertengkaran berlanjutan di terowong bersamanya dan Sergio Ramos. Saya amat marah, begitu juga mereka. Saya langsung tidak suka sikapnya. Dia seorang yang angkuh. Sebagai penjaring, dia memang hebat, tetapi sikapnya amat mengecewakan,” jelasnya.
Pandiani turut mendedahkan bagaimana pengurus Real Madrid ketika itu Jose Mourinho, memperkecilkan insiden berkenaan dengan menyifatkan dirinya sekadar mencari publisiti percuma.
“Selepas itu Mourinho berkata saya hanya mahukan publisiti, walaupun saya sudah bermain di divisyen satu selama 11 tahun. Ia tidak menyenangkan,” katanya.
Walaupun pencapaian Ronaldo di tengah padang selain lima anugerah Ballon d’Or, beberapa gelaran Liga Juara-Juara, serta rekod jaringan luar biasa tidak dapat dinafikan, kisah seperti yang dikongsikan Pandiani sekali lagi mengingatkan dunia mengenai kontroversi yang sering mengiringi karier bintang Portugal itu.
Bagi sesetengah pihak, keazaman dan semangat Ronaldo untuk menang menjadikannya seorang legenda global.
Namun bagi lawan seperti Pandiani, sikapnya dalam situasi penuh tekanan menggambarkan sisi lain yang tidak menyenangkan. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001