KUALA LUMPUR – Hujah pembangkang kononnya kebajikan Bumiputera tidak diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sangat tidak berasas, tegas Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Kata beliau, hakikatnya, agenda pemerkasaan Bumiputera adalah satu salah tiang utama RMK13.
Ini katanya, termasuk pemerkasaan usahawan, pegangan ekonomi, pemilikan kediaman dan peningkatan kemahiran tinggi.
“Sebaiknya pembangkang meneliti dokumen RMK13 secara adil supaya tidak mudah menabur fitnah.
“RMK13 adalah satu bukti kesungguhan kerajaan Madani mengangkat kekuatan ekonomi Bumiputera.
“Jurang wilayah juga dititikberatkan dalam RMK13 dan pembangunan di negeri-negeri pembangkang (SG4) yang majoriti penduduk adalah Bumiputera tidak dipinggirkan walaupun pemerintah berbeza politik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Faiz, berbekalkan inisiatif RMK13, dianggarkan ekonomi Kelantan akan berkembang pada kadar purata 4.7 peratus setahun dalam tempoh itu berbanding 4.2 peratus (RMK12), ekonomi Kedah berkembang 5.1 peratus purata setahun (RMK13) berbanding 4.7 peratus (RMK12).
Begitu juga ekonomi Perlis akan berkembang 4.9 peratus dalam tempoh RMK13 berbanding 4 peratus (RMK12) dan ekonomi Terengganu akan berkembang 4.8 peratus (RMK13) berbanding 4.5 peratus (RMK12).
Malahan, kata beliau, angka anggaran pertumbuhan bagi keempat-empat negeri ini adalah jauh lebih tinggi daripada kadar RMK11.
Jelasnya lagi, perbahasan yang ditampilkan oleh wakil Perikatan Nasional (PN) ketika membahaskan RMK13 di Parlimen amat mengecewakan.
“Ahli Parlimen Pasir Puteh dari Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh contohnya, dengan dakwaan usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar bercanggah fitrah kejadian manusia.
“Ahli Parlimen Tumpat dari Pas, Mumtaz Md. Nawi pula mempertikaikan mengapa RMK13 lebih nipis berbanding RMK12, tanpa menilai kualiti dasar yang dibentangkan.
“Begitu juga Ahli Parlimen Pendang dari Pas, Awang Hashim telah mengaitkan RMK13 dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969,” katanya.
Kata Muhammad Faiz, sebagai blok pembangkang, mereka sepatutnya mengemukakan hujah bernas, cadangan membina dan kritikan berasaskan fakta.
Justeru, beliau mencabar PN untuk membentangkan dasar bayangan RMK13 mereka kepada rakyat supaya dapat dibuat penilaian adil kepada dasar ekonomi kedua-dua blok yang membolehkan satu budaya politik lebih matang dibina dalam negara ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001