KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa pihak berkuasa melakukan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.
Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, prosiding itu bagi menentukan kesalahan atau mensabitkan jenayah terhadap individu tertentu yang menyebabkan kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu.
Katanya, hasil daripada inkues itu boleh digunakan oleh polis atau pendakwa untuk tindakan lanjut.
“Menerusi prosedur ini, ia akan menentukan cara kematian itu berlaku, sama ada terjadi secara semula jadi, kemalangan, bunuh diri, pembunuhan atau tidak dapat dipastikan.
“Kita juga dapat mengenal pasti masa dan tempat kematian, sekali gus membantu dalam rekod rasmi serta proses undang-undang.
“Malah, dengan prosiding inkues ini, ia akan membantu pencegahan pada masa hadapan, contohnya jika kematian berpunca daripada kelemahan keselamatan, menerusi inkues ini ia boleh mencadangkan langkah pencegahan,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, hasil inkues itu juga dapat memberi gambaran jelas kepada keluarga dan masyarakat mengenai kematian yang berlaku, supaya tidak timbul spekulasi atau tuduhan yang tidak berasas.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggali semula mayat pelajar itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
AGC dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian Zara Qairina.
Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata prosiding inkues yang diminta keluarga Zara Qairina perlu diadakan segera susulan siasatan ke atas kematian pelajar berkenaan.
Inkues akan pastikan cara atau situasi kematian berlaku
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, sekiranya keputusan bedah siasat itu sudah diperoleh, inkues masih boleh dilaksanakan meskipun tujuannya sedikit berbeza.
Katanya, ini kerana terdapat perbezaan bagi proses bedah siasat atau inkues yang dijalankan.
“Proses bedah siasat itu diadakan untuk menentukan punca perubatan kematian, contohnya luka tikaman di dada menyebabkan pendarahan dalaman, sementara inkues pula ia dapat menentukan cara dan situasi kematian berlaku, sama ada tikaman itu akibat kemalangan, bunuh diri atau dibunuh.
“Dalam undang-undang Malaysia (Seksyen 328 hingga 341 Kanun Prosedur Jenayah), jika hasil sudah jelas menunjukkan kematian semula jadi dan tiada unsur mencurigakan, biasanya kita tidak perlu laksanakan inkues.
“Tetapi jika ada keraguan, kematian mengejut atau ada unsur jenayah, inkues wajib dijalankan walaupun bedah siasat sudah dibuat.
“Maknanya, bedah siasat diadakan bagi mengetahui apa yang menyebabkan kematian manakala inkues pula untuk mengetahui bagaimana kematian itu berlaku dan dalam keadaan apa,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
