Polis akan gali semula kubur Zara Qairina – Pengarah JSJ

KUALA LUMPUR – Kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan digali semula untuk prosedur bedah siasat, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar.

Katanya, kerja menggali semula kubur itu susulan arahan Jabatan Peguam Negara yang mahu polis melengkapkan kertas siasatan atas kematian pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datuk Mustapha, Sabah.

Kata beliau, penilaian ke atas laporan yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara beberapa hari lalu, dikembalikan selepas terdapat keperluan mendapatkan maklumat dan bukti tambahan bagi melengkapkan siasatan kes kematian tersebut.

“Prosedur bedah siasat dan proses menggali semula akan dilakukan segera berlandaskan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata M. Kumar, keadilan akan sentiasa ditegakkan dan semua tindakan siasatan dilakukan mengikut lunas undang-undang, berasaskan fakta serta keterangan yang diperoleh.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, AGC telah mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

AGC menerusi satu kenyataan memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM akan menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir secepat mungkin bagi melengkapkan proses siasatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *