Peguam minta BNM sekat individu bankrap guna akaun e-dompet TnG eWallet untuk aktiviti penipuan kewangan

KOTA BHARU – Seorang peguam membuat aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kelemahan kawalan pematuhan oleh syarikat Touch ‘n Go eWallet Sdn. Bhd. (TnG eWallet) kerana membenarkan seorang individu bankrap, membuka serta mengendalikan akaun e-dompet bagi menjalankan pelbagai aktiviti penipuan kewangan.

Hanya mahu dikenali sebagai ‘Adib’, peguam ini memaklumkan, individu yang memakai nama pangkal Sen (gambar) itu telah diisytiharkan bankrap pada 24 Mac 2016 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Namun, katanya, TnG eWallet jelas gagal menghalang pembukaan dan pengoperasian akaun e-dompet atas namanya, yang kemudian digunakan untuk menerima puluhan transaksi penipuan antara September 2024 hingga April 2025, dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah RM697,678.60.

“Saya telah menghantar surat aduan rasmi ini kepada Pengarah BNM menerusi emel bnmtelelink@bnm.gov.my dan salinan kepada aduan@kpdn.gov.my, webmaster@mdi.gov.my dengan tajuk aduan: Kegagalan Tapisan Touch ‘n Go eWallet – Akaun Milik Individu Bankrap Digunakan untuk Penipuan.

“Individu ini telah diisytiharkan bankrap melalui kes 29NCC-2693-07/2015 di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, dengan rujukan Insolvensi BP038296/2015).

“Namun, TnG eWallet jelas gagal menghalang pembukaan dan pengoperasian akaun e-dompet atas namanya,” kata beliau yang dipetik menerusi surat aduan rasminya kepada Pengarah BNM hari ini.

Menurutnya, antara transaksi yang dibuat mangsa melalui akaun e-dompet individu terbabit ialah sejumlah RM10,000 kononnya untuk bayaran hotel, RM6,200 (processing fee), RM29.50 (printing), RM11,000 (kutipan yuran ahli pertubuhan) dan RM41,000 (kononnya ganti rugi pelabur awal melalui cagaran tanah.)

Kata beliau, lima yang disenaraikan itu adalah daripada 25 traksaksi yang telah direkodkan oleh mangsa kepada individu terbabit bermula September 2024 hingga April 2025.

Adib berpendapat, perkara itu menimbulkan isu serius terhadap keberkesanan “Know Your Customer” (KYC) dan semakan tapisan kebankrapan oleh penyedia e-dompet yang berlesen di bawah kawal selia BNM.

“Individu yang diisytihar bankrap tidak sepatutnya dibenarkan membuka dan mentadbir akaun kewangan baharu tanpa kelulusan Ketua Pengarah Insolvensi, apatah lagi menggunakannya untuk aktiviti pelaburan atau pungutan dana.

“Sehubungan itu, kami memohon tindakan daripada pihak BNM untuk menyiasat kelemahan pematuhan dan kawalan risiko oleh TnG eWallet berhubung pendaftaran akaun individu bankrap ini.

“Mengarahkan penggantungan segera akaun TnG eWallet milik Sen serta memastikan transaksi penipuan tidak diteruskan,” ujarnya.

Ini katanya, bagi memastikan laporan transaksi penuh akaun tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan iaitu Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Insolvensi.

Jelas beliau lagi, BNM sepatutnya memperketatkan garis panduan KYC dan “onboarding process” untuk semua institusi e-dompet berlesen bagi mengelak pengulangan kes sebegini.

“Kami percaya BNM sebagai pengawal selia industri kewangan mampu memastikan penyedia e-dompet lebih bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa penipuan melalui platform kewangan berlesen.

“Dalam kes ini, segala dokumen sokongan seperti laporan polis, carian kebankrapan rasmi, dan bukti transaksi sedia dikemukakan kepada pihak tuan atas permintaan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *