HARI kedua bengkel, 2 Ogos 2025 bersamaan Sabtu. Kira-kira jam 8.30 pagi, aku sudah sampai di kediaman Datuk Dinsman (aku panggil Pak Din). Dan, kami berdua terus bergerak ke Dewan Komuniti Kampung Permata, Kundang.
Sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 45 minit itu, topik perbualan adalah kesihatan. Pak Din kata, dia ada empat serangkai dan aku pun mengiyakan, kerana aku juga ahli kelab empat serangkai.
Bezanya, aku sudah dua kali angiogram, masukkan sten, manakala Pak Din perlu pembedahan pintasan. Tapi, kami masih kuat dan gagah untuk ke lokasi program.
Sampai saja di Dewan Komuniti Kampung Permata, Kundang, tanpa melengahkan masa, tiba giliran Pak Din ‘membedah’ skrip teater aku bertajuk, Puteri Saadong.
Skrip aku sudah di tangan Pak Din dan tiap seorang peserta juga memilikinya. Kami tekun meneliti skrip berkenaan. Ada yang mereka baca dengan suara yang boleh didengari, ada yang baca dalam hati. Yang pasti, helai demi helai muka surat dibeleknya.

Perasaan aku ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Peserta lain dah ‘kena’ sikit sorang. Pagi ni giliran aku pula. “Ah, apa nak risau. Kau tadah je telinga tu. Bukan lama pun kena bebel, paling lama lima hingga 10 minit,” getus hati aku.
“Lagipun, aku dah umum, aku tak ada nama langsung dalam dunia teater. Kiranya, ini kali pertama aku sertai. Jadi, tentulah mereka faham kalau skrip aku lintang pukang dan tak kena pada caranya,” pujuk hati aku lagi.
Untuk memulakan ‘bedah’ skrip aku, Pak Din sebut nama Sharifah Khadijah supaya pegang watak Raja Prasat Thong. Kemudian Pak Din minta Pak Kassim pegang watak Raja Abdullah, Puan Sharifah Naina watak Cik Siti Wan Kembang, Cikgu Jamly watak Panglima Aroi dan aku pula watak Puteri Saadong.
Tindakan Pak Din ni menimbulkan tanda tanya aku. Apa yang Pak Din nak buat dengan skrip aku? Kenapa tiba-tiba semua peserta kena pegang watak-watak yang ada dalam skrip tu? Tidakkah, ‘bedah’ skrip ni secara lisan, lontaran idea, kritikan, pandangan dan cadangan, bukan praktikal ke?
Ah, aku tak sempat nak fikirkan semua itu. Aku akur dan ikut saja arahan Pak Din, kerana dia yang tahu apa dia nak buat dengan skrip aku.

Pak Din minta semua kami lakonkan watak-watak dalam skrip itu. Maka, kami pun berlakon dengan watak masing-masing.
Syarifah Khadijah yang pegang watak Raja Prasat Thong memulakan dialog:
(Muka bengis, mendengus marah, bangun dari kerusi singgahsana) Humpphh… Beta benar-benar rasa malu… Wan Kembang sengaja mencalar maruah beta di khalayak. Beta tidak puas hati. Beta mesti kahwin dengan Puteri Saadong.
Cikgu Jamly yang pegang watak Panglima Aroi:
(Duduk bersila. Memberi pandangan) Ampun Tuanku, kalau dengan cara baik, mereka tolak. Patik cadangkan kita guna kekerasan.
Babak 2: Puan Sharifah Naina pegang watak Cik Siti Wan Kembang:
(Risau, gelisah) Hati Bonda gelisah dan resah sejak keberangkatan pulang rombongan meminang Raja Prasat Thong. Bonda dapat rasakan, mereka kecewa dan pulang membawa dendam.
Pak Kassim selaku Raja Abdullah:
Jadi, apa harus kita lakukan?
Aku yang pegang watak Puteri Saadong:
Apakah Bonda yakin mereka akan terima cadangan kita?
Tak sangka, itu cara Pak Din ‘bedah’ skrip aku. Selesai berlakon secara spontan atau sepintas lalu, Pak Din nyatakan cadangannya untuk ‘pentaskan’ teater itu di kalangan kami. Kami setuju dan tetapkan tarikh pementasan pada musim cuti sekolah pertengahan September ini di Kampung Cita Jaya, Tanah Merah, Kelantan.
Kemudian Pak Din tanya, bila aku boleh siapkan skrip Puteri Saadong tu hingga ke penamat? Aku beri jaminan dalam seminggu atau tambahan seminggu lagi. “Maknanya, dua minggu dari tarikh tamat bengkel,” kata aku.

Ternyata Pak Din berminat dengan kisah epik sejarah, terutama berkaitan dengan Cik Siti Wan Kembang.
Hari kedua, kami tidak ada banyak masa berbengkel, kerana tengah hari, sebaik selesai membedah skrip teater Puteri Saadong, iaitu pada waktu rehat, kami bersama penduduk Kampung Permata bergotong royong buat persiapan kerana sebelah petang ada program Santai Seni Petang @ Kampung Permata – Kundang Nan Hijau.
Untuk makluman, Dewan Komuniti Kampung Permata ini terletak bersebelahan Tasik Biru Kundang. Hanya dijarakkan dengan padang atau taman seluas 200 meter persegi, iaitu lokasi yang kami jadikan tapak program itu.
Lebih kurang jam 4 petang, para tetamu mula hadir seorang demi seorang. Mereka ialah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali Cikgu Azmi; Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr. Siti Zainon Ismail; Penyelaras DUN Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican; Pencipta dan Penyanyi Lagu Puisi, AnBakri Haron.
Pelukis dan Pemuzik, Maamor Jantan; Penggiat Seni, Hasni Abas; Ahli Majlis, Sharuddin Abu Bakar; Pelakon dan Pengarah Teater, Affix Zulkarnaen Adam dan ramai lagi (sekadar sebut beberapa nama); serta peserta bengkel penulisan skrip teater, Datuk Dinsman, Kassim Muhamad (Pak Kassim), Syarifah Khadijah Al-Jufri; Puan Sharifah Naina Mohamad, Cikgu Jamly Bahrulddin dan Abd. Razak Khaliq.

Aturcara program ialah membaca sajak dan mendeklamasi puisi, serta kemuncaknya, persembahan monolog bertajuk Gobek (bukan Go Back) dari kumpulan bengkel yang diketuai Pak Kassim, Cikgu Jamly, Affix dan Abd. Razak.
Cikgu Azmi, Siti Zainon, Hasnal, Anbakri dan Pak Din turut mempersembahkan bacaan puisi dan sajak masing-masing dengan iringan muzik kumpulan Melodi Buskers.
Santai Seni Petang @ Kampung Permata – Kundang Nan Hijau dicadangkan untuk dijadikan program bulanan, manakala Siti Zainon ketika berucap, turut mengisytiharkan Kampung Permata, Kundang sebagai Taman Puisi.
Program selesai kira-kira jam 7 malam, walaupun tuan rumah mahu ia dilanjutkan lagi selepas Isyak. Tetapi, memandang semua tetamu tinggal jauh, cukuplah untuk permulaan ini dihabiskan jam 7 malam sahaja.
Lagipun, program ini akan diadakan secara bulanan. Pemuisi, penyajak, penyair, pelukis, pengkarya dan penggiat seni mempunyai banyak masa untuk menghidupkan aktiviti kesenian kreatif masing-masing.
Sebaik selepas solat Isyak, kami, kumpulan bengkel sambung lagi untuk sesi seterusnya sehingga rapat pada jam 10 malam. Walaupun, badan masing-masing letih dan penat, tetapi apabila berdepan dengan tugasan penulisan teater, ia jadi segar malar.
Saya seperti biasa, selepas tamat bengkel pada malam itu, menghantar Pak Din pulang ke rumah. Dan, keesokan pagi ambil Pak Din di kediamannya. – ND
Bersambung
Terbaik dan jitu
o
Pengalaman Dinsman sejak dia di Maktab Mahmud dalam bidang teater telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Paksi (Seniman Paksi Rakyat). Terima kasih semua pihak khususnya penduduk Kampong Permata, Kuang kerana memungkinkan peristiwa bersejarah ini berlaku. Semoga ini bukanlah bengkel penulisan skrip teater yang terakhir. Sekali lagi, terima kasih semua.