Mukadimah: Bengkel Penulisan Skrip Teater bersama Dinsman

SEBULAN yang lalu, aku dihubungi Pak Kassim (Timbalan Presiden PAKSI – Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia) mengenai perancangannya untuk mengadakan bengkel penulisan skrip teater selama tiga hari.

Walaupun bidang ini teramat jauh dari yang aku ceburi – aku terlibat sepenuh masa dalam bidang penulisan deskriptif – wartawan. Aku rasa, inilah masanya untuk aku memperluaskan pengetahuan dalam semua genre penulisan termasuk kesusteraan.

Aku jawab, “Saya sangat berminat, tapi saya ada komitmen kerja rutin, takut majikan tak lepas.

Dua minggu selepas itu, Pak Kassim hantar mesej, beritahu nama aku sudah dimasukkan dalam senarai peserta.

Tindakan Pak Kassim ini buatkan aku dalam dilema. Dilema takut majikan tak lulus cuti. Tiga hari cuti ni dalam organisasi media, satu tempoh agak panjang. Biasa, kami diberi cuti paling banyak pun dua hari. Tambahan pula, sekarang ni suasana politik dalam negara padat dengan isu. Jadi, aku kena tumpukan pada isu untuk dimuatkan dalam media yang aku kerja.

Keesokan hari selepas terima mesej itu, aku jumpa majikan. Beritahu apa yang berlaku pada aku dan mohon untuk bercuti selama tiga hari.

Jawapan majikan, “Awak tak perlu ambil cuti kalau nak sertai bengkel tu. Saya akan masukkan dalam jadual kerja, awak sebagai petugas media sambil-sambil jadi peserta bengkel.

Dengan perasaan gembira, aku ucapkan berbilion terima kasih kerana boss memahami jiwa aku.

Kenapa aku nak sangat sertai bengkel ini? Walaupun, selepas tahun 1980-an aku tidak lagi terlibat secara langsung dalam dunia kesusasteraan sebaik menerima tawaran sebagai wartawan di BERNAMA Kota Bharu?

Kerana, pengajar bengkel ini adalah seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia kesusasteraan iaitu teater. Orangnya tidak lain, Datuk Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali seantero dunia dengan nama Dinsman.

“Gila kau kalau tak ambil peluang ni. Datuk Dinsman tu yang nak bagi pencerahan asas penulisan teater. Bukan calang-calang manusia. Hampir ratusan teaternya, yang kecil mahupun yang besar dan gah telah dipentaskan dan mendapat tempat di hati rakyat.

Disebabkan nama besar inilah, saya segera memberi jawapan ‘setuju’ kepada Pak Kassim. Ternyata Pak Kassim sangat gembira dengan penyertaan seorang yang langsung tidak ada asas dalam bidang kreatif. Aku lebih kepada penulisan deskriptif.

Walaupun, ianya dua bidang yang jauh berbeza, tetapi aku nekad nak cuba mendalami ilmu kreatif yang aku tinggalkan sejak lebih 40 tahun lalu.

Satu hari sebelum tiba hari bengkel, iaitu 31 Julai, aku dimaklumkan dalam grup bengkel, Datuk Dinsman ada masalah pengangkutan dari kediamannya di USJ, Subang Jaya ke Dewan Komuniti Kampung Permata, Kundang.

Bila baca makluman itu, hati aku cuba mencucuk ‘hasutan’. “Baik kau ambil kesempatan ni. Kau jawab saja dalam grup tu, kau sanggup ambil dan hantar Datuk Dinsman.

“Ini peluang kau nak duduk dalam satu kereta dengan orang yang nama besarnya dalam dunia kesusasteraan. Selama ini, kau hanya hadir program dia dari jauh, tak pernah dekati. Hah! Ini peluang yang Allah nak bagi pada kau.

“Cepat, beri jawapan, yang kau sedia ambil Datuk Dinsman di kediamannya ke bengkel di Kampung Permata, Kundang.

Hasutan hati itu berjaya mengarahkan jari aku untuk beri jawapan, “Biar saya ambil Datuk Dinsman. Lagipun, rumah saya ke kediaman Datuk Dinsman dan ke lokasi bengkel satu laluan.

Pak Kassim gembira dengan jawapan itu. Masalah pengangkutan Datuk Dinsman kira selesai.

Keesokan pagi, sebaik mengambil peserta dari negeri paling jauh, Perlis, saudara cikgu Jamly Bahrulddin di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, kami berdua tidak sabar-sabar untuk mengambil Datuk Dinsman di kediamannya.

Kalau aku lepaskan peluang ini, dah tak ada waktu dan ketikanya lagi untuk aku berada di samping orang yang nama besar dalam kesusasteraan genre teater ini.

Kami sampai di depan rumah Datuk Dinsman tepat jam 9.30 pagi. Aku dan cikgu Jamly menyambutnya di depan pintu pagar. Aku teruja lihat sosok tubuh yang lebih separuh abad usia ini, berjalan dengan tongkat menuju ke arah kami.

Aku hulur tangan bersalam. Cikgu Jamly juga. Kami berbual dalam dua minit, sebelum Datuk Dinsman masuk ke kereta. Ketika itu, aku tak dapat nak gambarkan, seorang penulis besar naik kereta Proton Saga aku.

Sepanjang perjalanan yang mengambil masa sekitar 45 minit, kami berbual panjang. Ternyata Datuk Dinsman seorang yang peramah, walau kita lihat secara luaran dia seorang yang pendiam dan jenis tidak banyak bercakap.

Tetapi, apabila kami mulakan perbualan, masa 45 minit perjalanan itu terasa amat singkat dan terlalu pendek. Dalam hati aku merungut, kenapa adakan bengkel ni di Kundang? Kan elok buat saja di Perak atau Kedah atau Kelantan, dapatlah aku berbual panjang dan lama sikit dengan idola aku ni.

Hari pertama bengkel, kami seramai enam peserta (jemputan penyertaan sangat terhad – jemput peserta yang berkualiti dan pernah menghasilkan teater sahaja dipilih, di samping berkebolehan berlakon.

Mereka ialah, Pak Kassim, Sharifah Khadijah Syed Husin Al-Jufri, cikgu Jamly Bahrulddin, Abd Razak Khaliq dan urusetia yang diambil sebagai pelakon bidan terjun, Puan Sharifah Naina Mohamad.

Semua peserta ini adalah mereka yang mempunyai nama dan tempat dalam dunia penulisan dan persembahan teater serta mempunyai pengalaman mengadakan persembahan di merata negeri di seluruh pelosok Semenanjung Tanah Air termasuk di Indonesia.

Aku? Asas menulis skrip teater pun tak ada, apatah lagi berlakon. Aku orang deskriptif, bukan berjiwa kreatif. Ah, lantaklah. Kalau Datuk Dinsman minta aku hasilkan skrip, aku akan cuba hasilkan. Kalau Datuk Dinsman suruh aku berlakon, aku berlakonlah dengan aksi kaku.

Kalau Datuk Dinsman nak kutuk, tegur… kutuk dan tegurlah, aku akan tadah telinga. Bukan senang orang besar nak tengok skrip kita, kemudian nak habiskan masa membaca, menelaah dan membuat kritikan. Bila orang besar tegur, kritik kita, ianya umpama kita sedang dilamun cinta… apa saja butir kata yang buruk, terasa manis.

Namun, hari pertama bengkel, lebih kepada penerangan Datuk Dinsman mengenai asas penulisan. Dari jam 9 pagi hingga jam 11 malam, aku dan peserta lain beri tumpuan penuh khusyuk. Sebab, ini dah peluang yang ada untuk menimba dan mendalami ilmu penulisan teater. Selepas ini, tak ada dah.

Alhamdulillah, walaupun tempoh satu hari satu malam, segala ilmu yang dicurahkan Datuk Dinsman, masuk sedikit demi sedikit dalam memori aku, walaupun nak mahir tu kena ambil masa berpuluh tahun.

Malam itu, sebaik habis bengkel. Aku hantar Datuk Dinsman ke kediamannya di USJ, Subang Jaya. Datuk Dinsman kesihatannya tidak mengizinkan, tak boleh bermalam di rumah inap yang disediakan.

Aku menawarkan diri untuk hantar dan ambilnya di rumah keesokan pagi. Tak rugi kau berbakti kepada orang yang ada nama besar dalam dunia kesusteraan, dan insan yang lebih tua dari kau. Kata hati aku.

Bersambung

2 thoughts on “Mukadimah: Bengkel Penulisan Skrip Teater bersama Dinsman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *