Keazaman Ronaldo tidak pernah pudar

GROEDIG, Austria – Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan semangat juangnya yang tidak pernah luntur apabila membantu Al-Nassr bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas kelab Ligue 1, Toulouse pada aksi persahabatan menjelang musim baharu.

Perlawanan di Untersberg-Arena itu menyaksikan kelab Liga Pro Saudi itu mempamerkan ketahanan dan keazaman tinggi dengan Ronaldo memimpin barisan hadapan pasukannya.

Toulouse memulakan perlawanan dengan lebih meyakinkan dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-25 menerusi jaringan Yan Gboho.

Namun Al-Nassr tidak mengambil masa lama untuk bertindak balas.

Lapan minit selepas ketinggalan, pasukan dari Arab Saudi itu menyamakan kedudukan hasil sentuhan penyudah ikonik daripada penyerang terbilang mereka.

Bintang Portugal itu tenang menyempurnakan peluang, mengatasi penjaga gol Toulouse untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33.

Usaha berterusan Al-Nassr akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-76 apabila Mohammed Maran menjaringkan gol kemenangan.

Selepas perlawanan, Ronaldo menulis di media sosial: “Keazaman ini tidak pernah pudar. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan kami hanya baru bermula.”

Ronaldo sebelum ini muncul penjaring terbanyak musim 2024–25 dalam Liga Pro Saudi dengan rekod 35 gol bagi semua pertandingan bersama Al-Nassr.

Dia juga menandatangani kontrak baharu yang akan mengekalkannya di kelab itu hingga musim 2026–27, sekali gus menegaskan komitmennya untuk mengemudi kejayaan domestik dan benua kepada Al-Nassr.

Al-Nassr akan meneruskan persiapan pramusim mereka di Sepanyol, dengan perlawanan menentang kelab La Liga, Almeria di Estadio Mediterraneo pada Ahad ini.

Selepas itu, mereka akan pulang ke Arab Saudi untuk menghadapi pertembungan penting dalam Piala Super Saudi menentang seteru utama, Al-Ittihad pada 19 Ogos. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *