ALOR SETAR – Pilihan Raya Umum (PRU) bukanlah satu-satunya cara untuk menukar Perdana Menteri, sebaliknya, perubahan kepimpinan terutama bagi jawatan nombor satu itu juga boleh berlaku sekiranya peletakan jawatan berlaku atas desakan rakyat.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, situasi itu pernah berlaku di beberapa negara seperti di United Kingdom (UK), Bangladesh dan Jepun.
Bahkan, katanya, ketika memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua, beliau meletakkan jawatan selepas tidak lagi mendapat kepercayaan daripada parti dan gabungan yang dibentuk ketika itu.
“(Maka) kerajaan ini mesti dijatuhkan dan kita tidak boleh nanti (tunggu) sehingga ada pilihan raya, sepatutnya dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) letak jawatan sekarang ini.
“Kalau Boris Johnson letak jawatan, kalau Sheikh Hasina (boleh) letak jawatan, (Perdana Menteri Anwar) juga pun patut letak jawatan, saya tak sebutlah saya (pernah letak) jawatan, saya pun letak jawatan (sebab) orang (dalam parti) tak suka (saya), jadi saya pun letak jawatanlah,
“(Anwar) ini semua orang tak (suka), siapa sini yang suka angkat tangan… (memang) tidak ada (yang) suka sebab tak ada (orang) tangan yang angkat, (dan) siapa (di sini) yang tak suka kepada Anwar Ibrahim, semua (tidak), (atas sebab) semua yang tak suka. Jadi, kita nak Anwar turunlah (dari jawatan itu), orang (sudah) tak nak kamu,” dakwa Dr Mahathir.
Dr. Mahathir yang baharu saja meraikan ulang tahun ke-100 pada 10 Julai lalu itu berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Amanat Negarawan di Stadium Suka Menanti, di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut menyeru orang ramai untuk turun ke Kuala Lumpur sempena ‘Himpunan Turun Anwar’ yang diadakan 26 Julai ini, bagi mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan dalam tempoh segera.
Untuk rekod, Himpunan Amanat Negarawan merupakan medan untuk bekas Perdana Menteri itu tampil buat kali pertama di khalayak ramai selepas dibenarkan keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN), pada Ahad lalu.
Dr Mahathir yang juga Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) tiba sekitar jam 10.20 malam sebelum menyertai syarahan perdana bersama empat pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang lain.
Syarahan Perdana dimulakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, diikuti Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pidato seterusnya menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001