PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pelantikan Ketua Hakim Negara baharu, Datuk Wan Ahmad Farid dilakukan mengikut prosedur sah dan tiada campur tangan luar.
Jelas beliau, martabat dan kebebasan institusi kehakiman dalam sistem demokrasi berperlembagaan sentiasa dijunjung.
“Kita tunduk kepada Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan sekali gus menepis tohmahan kononnya wujud pengaruh politik dalam badan kehakiman.
“Buktinya cadangan dikemukakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kemudian dibawa kepada Perdana Menteri, seterusnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Akhir sekali dirujuk kepada Majlis Raja-Raja serta Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” ujar Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, di sini.
Tambah Anwar, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak pernah diusulkan sebagai calon Ketua Hakim Negara kerana faktor usia dan tempoh perkhidmatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan masih lama.
Selain itu, tiada hakim yang dibuang atau dihantar ke tribunal, atau sebarang keputusan mahkamah diganggu dalam proses penghakiman atau arahan diberikan kepada hakim tertentu.
“Penjelasan ini diharap dapat menamatkan fitnah dan spekulasi yang berlarutan selama berminggu-minggu sebelum ini.
“Saya gesa semua pihak untuk berhenti membuat tuduhan melulu tanpa fakta, harus wujud kesabaran dan kebijaksanaan dalam menangani isu kehakiman tanpa dipengaruhi permusuhan politik,” kata Anwar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid dan menzahirkan pengharapan agar dapat menjalankan tugas dengan baik.
Sebelum ini, Datuk Wan Ahmad Farid yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan baharu pada malam Khamis bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib.
Dalam kenyataan sama, turut dimaklumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang yang bakal menamatkan perkhidmatan.
Majlis angkat sumpah serta penyerahan watikah pelantikan dijadualkan berlangsung pada 28 Julai di Istana Negara dengan disaksikan oleh Sultan Ibrahim.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001