SOM Menjunjung kasih Majlis Raja-Raja Melayu pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu

PUTRAJAYA – Kemelut pelantikan hakim-hakim kanan yang dibiarkan kosong hampir satu bulan berakhir dengan pengumuman Ketua Hakim Negara yang baharu oleh Majlis Raja-Raja Melayu awal tengah malam tadi.

Sekretariat Orang Melayu, sebagai pertubuhan masyarakat sivil yang mengikuti dari awal isu itu, turut menzahirkan rasa lega dengan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-269 di Istana Negara semalam.

Ketua Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya menyambut baik pemilihan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.

Kata beliau, pelantikan itu mencerminkan kelangsungan institusi kehakiman negara yang bebas, berintegriti dan menjunjung kedaulatan undang-undang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan atas perkenan baginda melantik Datuk Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

“Ucapan tahniah juga kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais atas pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

“Majlis Raja-Raja Melayu telah mengambil langkah tepat, berwibawa dan selaras dengan hasrat rakyat Malaysia, yang mendambakan sistem keadilan telus serta bebas daripada sebarang tekanan politik atau pengaruh kepentingan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media awal pagi tadi melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melantik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Negara, pelantikan itu dibuat oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu.

Selain itu, kenyataan tersebut menyebut, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan melantik Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

Menurut Marzuki, ketiga-tiga hakim kanan itu memiliki kelayakan, pengalaman, rekod perkhidmatan yang cemerlang serta integriti dan kewibawaan yang tinggi untuk menerajui serta meneruskan usaha memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Katanya, pihaknya komited terhadap prinsip keadilan, urus tadbir yang baik serta reformasi institusi dan menyeru semua pihak, termasuk badan eksekutif, legislatif, NGO serta rakyat untuk terus menjunjung dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman sebagai satu tiang seri utama dalam sistem demokrasi negara.

“Kami juga menegaskan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu bukan sekadar soal pentadbiran kehakiman, tetapi lambang kelangsungan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan.

“Oleh itu, kami berharap agenda pemerkasaan institusi kehakiman dapat diteruskan dengan lebih berani, tegas dan tuntas,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Hakim Negara terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas segala jasa dan sumbangannya sepanjang memimpin institusi kehakiman Malaysia. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *