UMNO Bersama PDRM Jihad Memerangi Dadah

PAIR MAS – UMNO Bahagian Pasir Mas menyatakan komitmen penuh untuk bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam jihad membanteras gejala penagihan dan pengedaran dadah yang semakin membimbangkan di negeri itu.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kerjasama erat antara UMNO dan agensi penguat kuasa termasuk polis, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting bagi memastikan masa depan anak muda di negeri itu tidak terus dihancurkan oleh najis dadah.

Kata beliau, peranan semua pihak amat diperlukan tidak kira latarbelakang politik, budaya dan pekerjaan, malah semua mesti bersatu hati menyokong tindakan Ketua Polis Kelantan dalam jihadnya memerangi dadah.

“Umum tahu semua kebejatan yang berlaku dalam negeri ini berpunca daripada najis dadah yang mengkhayalkan hampir ramai anak bangsa.

“Perbuatan khayal dadah ini boleh menyebabkan kes parti gay seks sangat memalukan negeri Kelantan yang diberi jolokan Serambi Mekah.

“Justeru, kerajaan negeri perlu lebih cakna dan bergerak seiring dengan polis dalam menghapuskan ketagihan dadah serta aktiviti tidak bermoral,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Noor Hariri, wakil rakyat tidak boleh duduk goyang kaki dan perut sahaja tanpa memperdulikan masalah yang berlaku dalam negeri itu.

Ini, katanya, adalah tanggungjawab wakil rakyat yang berkuasa untuk melakukan aktiviti kesedaran kepada masyarakat.

“Bahkan, UMNO bahagian ini dan negeri bersedia membantu usaha pihak berkuasa dari sudut pendidikan, pencegahan serta pemulihan melalui jaringan masyarakat, NGO serta jentera parti di semua peringkat.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal menyelamatkan generasi masa depan. Namun begitu, wakil rakyat tidak boleh lepas tangan apabila dengan sekadar menjawab mulut, konon negeri lain pun lagi banyak kes dadahnya.

“Sikap tidak boleh ditegur dan ego ini tidak langsung membantu pihak berkuasa. Letaklah apa sahaja slogan Islamik kalau kerajaan negeri masih ada mentaliti jumud “orang semua salah, aku sahaja betul” maknanya negeri Kelantan akan kekal ditakuk lama dengan berlaku ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan spiritual rakyatnya,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat Kelantan termasuk ibu bapa, tokoh agama dan kepimpinan kampung bersama memerangi masalah itu, yang kini dilihat sebagai satu bentuk penjajahan moden yang memusnahkan daya saing umat Islam.

Pada masa sama, Noor Hariri turut mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa khas komuniti bebas dadah di setiap kawasan Parlimen dan DUN, dengan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO serta institusi pendidikan bagi mempercepatkan usaha membina masyarakat bebas dadah menjelang 2030. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *