KUALA LUMPUR – Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin dalam satu kenyataan menjelaskan latar belakang Adams yang didakwa condong kepada ideologi politik ekstrem kanan serta retorik yang bersifat memecahbelahkan dilihat bercanggah dengan prinsip kemajmukan, toleransi dan solidariti yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.
“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak, seperti yang termaktub di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, untuk menyuarakan kebimbangan atau menolak pencalonan mana-mana diplomat asing yang tidak selari dengan dasar luar negara serta sensitiviti tempatan.
“Penolakan ini bukan satu bentuk permusuhan, sebaliknya langkah mempertahankan hubungan dua hala yang sihat dan saling menghormati antara Malaysia dan AS,” ujarnya.
Sehubungan itu, AMK memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan AS sebagai bantahan terhadap pencalonan Adams.
Ia selain mendesak agar seorang calon yang lebih berwibawa, bersifat moderat dan menghormati nilai keadilan sejagat dilantik demi kepentingan bersama.
Sementara itu, di PETALING JAYA, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyeru kerajaan segera dan tegas menolak Nick Adams sekiranya dicalonkan sebagai duta besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Zaid berkata, walaupun Washington berhak mencadangkan sesiapa sahaja, keputusan muktamad tetap terletak di tangan Putrajaya.
“Malaysia, bukan Washington, yang mempunyai kuasa muktamad menentukan siapa layak diberikan keistimewaan mewakili kepentingan asing di tanah air kita,” katanya dalam kenyataan tegas di X.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan menyatakan Nick Adams sedang dipertimbang Presiden Donald Trump untuk dilantik sebagai duta besar AS ke Malaysia.
Zaid berkata, Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik memberi kuasa kepada negara tuan rumah untuk menerima atau menolak pelantikan duta tanpa perlu mengemukakan sebarang alasan.
“Jawatan duta bukan sekadar bersifat istiadat. Seorang duta merupakan wajah, suara, dan cerminan sikap negara mereka di negara tuan rumah. Mereka ditugaskan memupuk kepercayaan, memperkukuh kerjasama, serta mewakili nilai, dan aspirasi tertinggi negara mereka,” katanya.
Zaid melabelkan Adams sebagai ‘penghasut sayap kanan’ dan ‘provokasi partisan’ yang bukan bekerjaya diplomat mahupun negarawan, justeru tidak sesuai memegang jawatan tersebut.
“Dia seorang provokasi politik dengan komentar yang lantang dan memecah belahkan sehingga menjadi bahan sensasi media kabel AS yang tidak membawa sebarang nilai kepada hubungan diplomatik Malaysia-AS,” katanya sambil menambah menerima Adams bukanlah tanda muhibah, sebaliknya berbentuk penghinaan.
Beliau turut menegaskan Malaysia tidak seharusnya dijadikan tempat pelupusan kepada tokoh ideologi ekstrem dan pengaruh partisan yang memecah belah.
Zaid berkata, menolak pencalonan itu tidak akan menjejaskan hubungan dua hala, sebaliknya memberi isyarat Malaysia mementingkan keutuhan berbanding penghibur, dan mengharapkan negara lain memberikan tahap hormat sama seperti diamalkan Malaysia.
“Kita mesti mempertahankan maruah negara dan menjunjung norma antarabangsa. Andai kita terpaksa menempuh jalan panjang dalam perkara ini, maka kita mesti lakukannya,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001