Johari Ghani jalan tugas, fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Shamsul Azri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju dan memaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang bersidang pada Rabu lalu.

“Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri yang bersidang peada 9 Julai 2025 bahawa beliau bersetuju supaya Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam kosong susulan peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad yang berkuat kuasa 4 Julai lalu.

Keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut dibuat susulan kekalahan beliau dalam Pemilihan PKR, baru-baru ini.

Nik Nazmi dalam kenyataan pada 17 Jun mengekalkan pendiriannya untuk meletak jawatan, walaupun Perdana Menteri masih memberi peluang kepadanya untuk meneruskan tugas.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pertimbangan yang lebih besar. – Astro AWANI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *