LONDON – Grigor Dimitrov meninggalkan Centre Court di Wimbledon dalam keadaan menangis selepas terpaksa menarik diri akibat kecederaan dialaminya.
Ketika itu, beliau sedang mendahului dua set pada perlawanan pusingan ke-16 menentang Jannik Sinner, malam tadi, sekali gus memberi laluan mengejut kepada pilihan utama kejohanan itu.
Sinner sendiri terjatuh dengan teruk dalam permainan pembukaan perlawanan pusingan keempat itu dan bergelut dengan ketidakselesaan pada siku kanannya.
Selepas perlawanan, Sinner mengakui akan menjalani imbasan MRI pada Selasa bagi menentukan tahap kecederaannya.
Pemain Itali itu gagal menyaingi gaya permainan Dimitrov sepanjang dua set pertama dan hampir tersingkir apabila ketinggalan 3-6, 5-7 dan 2-2.
Namun, pemain Bulgaria berusia 34 tahun itu yang kini menarik diri dalam lima kejohanan Grand Slam terakhirnya, tiba-tiba memegang bahagian otot dada kanannya dan tidak dapat meneruskan permainan.
“Sejujurnya saya tidak tahu nak cakap apa,” kata Sinner.
“Dia pemain yang luar biasa, saya rasa kita semua dapat lihat hari ini. Dia sangat tidak bernasib baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Seorang pemain hebat dan sahabat baik saya. Kami sangat memahami antara satu sama lain di luar gelanggang.
“Melihat dia dalam keadaan sebegini, sejujurnya, kalau ada peluang dia boleh bermain pusingan seterusnya, dia memang layak.”
Dimitrov yang juga pilihan ke-19 kejohanan, melakukan servis ace ke luar untuk mengekalkan kedudukan 2-2 dalam set ketiga sebelum rebah menahan kesakitan.
Sinner bergegas membantu sebelum Dimitrov keluar dari gelanggang, namun kembali beberapa minit kemudian dalam keadaan menangis dan tidak mampu meneruskan perlawanan, malah hanya sempat melambaikan tangan sebagai tanda penghargaan terhadap tepukan gemuruh penonton.
“Saya harap dia cepat sembuh,” kata Sinner.
“Ia memang sangat malang buat dirinya. Saya langsung tidak anggap ini sebagai kemenangan. Ini hanyalah saat malang yang menyedihkan untuk kita semua.
“Saya rasa dalam Grand Slam terakhir pun dia sudah bergelut dengan kecederaan dan melihat dia sekali lagi mengalami kecederaan sebegini memang sangat sukar. Kita semua dapat lihat melalui reaksinya betapa dia sangat menyayangi sukan ini.”
Kecederaan Dimitrov bermula 12 bulan lalu di Wimbledon, apabila dia tergelincir dan mengalami kecederaan lutut dalam set pertama perlawanan pusingan keempat menentang Daniil Medvedev.
Dia pernah terpaksa menarik diri dalam perlawanan di Terbuka Amerika Syarikat (AS), Terbuka Australia dan Terbuka Perancis baru-baru ini.
Sinner yang mara ke suku akhir Wimbledon untuk tahun keempat berturut-turut, akan bertemu pemain nombor 10 dunia, Ben Shelton yang sebelum itu menewaskan Lorenzo Sonego dalam empat set.
Dia berpotensi berdepan juara tujuh kali Novak Djokovic di separuh akhir, namun tahap kecergasan Sinner sendiri turut menjadi tanda tanya selepas aksi sukar menentang Dimitrov.
Sinner belum pernah mara ke final Wimbledon dengan pencapaian terbaiknya ialah ke separuh akhir pada 2023.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001