Rafizi, 6 Ahli Parlimen PKR adakan sidang akhbar khas isu kehakiman

KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga minggu melepaskan jawatan dalam Kabinet, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengadakan sidang media bersama enam ahli Parlimen PKR lain membabitkan isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahar, Onn Abu Bakar.

Melalui sidang media itu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, antara lain akan memohon secara rasmi satu prosiding dan siasatan dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan berhubung isu reformasi institusi dan ketua hakim negara.

“Kita akan memohon prosiding dijalankan jawatankuasa khas antara lain bagi memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi keterangan kerana soal lantikan ketua hakim negara mengikut Perlembagaan adalah di bawah Perdana Menteri.

“Ia bukannya dari Kabinet, jadi tiada yang boleh menjawab kecuali Perdana Menteri…saya akan menulis secara rasmi kepada pengerusi jawatankuasa dan anggota,” katanya, hari ini.

Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat memegang jawatan itu selama enam tahun dengan mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu, bersara wajib pada Rabu lalu.

Susulan itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *