Kerajaan teliti pindaan Akta Pehimpunan Aman susulan keputusan mahkamah

PETALING JAYA – Kerajaan akan meneliti pindaan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012 susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 9(5) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bertujuan memastikan undang-undang yang dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum dengan penuh hormat keputusan tersebut dan akan meneliti keputusan ini untuk tindakan sewajarnya.

“Ini termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan peruntukan undang-undang yang terkesan, agar selari dengan kehendak Perlembagaan dan … keputusan mahkamah tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan menggesa kerajaan agar meneliti pindaan akta tersebut, yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan ini.

Menurutnya, undang-undang yang diputuskan tidak sah oleh mahkamah tidak wajar dikuatkuasakan oleh mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan, termasuk memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dipelihara.

Tambahnya, sejak 2023, lebih 10,000 perhimpunan telah diadakan dan 98% berlangsung tanpa sebarang sekatan.

Saifuddin berkata, perdana menteri mengambil serius isu ini, seperti yang dilihat menerusi pengumumanmoratorium terhadap sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 9(5) sebagai langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh undang-undang berkaitan hak berhimpun.

“Sejajar dengan komitmen tersebut, KDN juga akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan langkah menjenayahkan kegagalan memaklumkan polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman bercanggah dengan Perlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 mengenakan hukuman melebihi had dibenarkan bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Keputusan itu hasil cabaran perlembagaan dikemukakan bekas setiausaha agung Muda Amir Hadi, yang didakwa pada 2022 kerana gagal memberi notis lima hari kepada polis sebelum menganjurkan protes di luar pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *