PN akan bangkit insiden Putra Heights di DUN Selangor, kata Azmin

PETALING JAYA – ADUN Perikatan Nasional (PN) akan membangkitkan isu kebakaran paip gas di Putra Heights dalam sidang DUN Selangor pada 7 Julai ini, kata Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali.

Azmin yang juga setiausaha PN berkata laporan yang dikeluarkan mengenai insiden itu tidak menjawab semua persoalan termasuk maklumat terperinci mengenai pemantauan dan kerja-kerja penyelenggaraan berkala.

“Kenyataan media saya tatkala berlaku insiden ini cukup komprehensif. Saya mendesak siasatan yang bebas dan menyeluruh.

“Malangnya, laporan yang dikeluarkan tidak menjawab semua persoalan ini. Maka, Adun Selangor akan membangkitkan perkara ini dalam Sidang DUN Selangor pada 7 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Semalam, Menteri Besar Amirudin Shari dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi 1 April.

Faktor persekitaran itu termasuk keadaan tanah yang kurang stabil, pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang yang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsun dan ‘culvert’ yang terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dalam sidang media semalam mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti yang boleh menyebabkan kerosakan pada paip gas sehingga mencetuskan letupan.

Beliau berkata, rumusan tersebut diperoleh hasil siasatan teknikal susulan letupan saluran paip gas bawah tanah terbabit.

Hari ini, Hussein berkata kejadian itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) susulan tiada unsur kecuaian atau khianat ditemukan, tetapi siasatan semula akan dibuat jika ada bukti atau keterangan baharu dijumpai.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *