Bekas CEO YBR ambil tindakan undang-undang atas pemecatan tidak sah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani menyifatkan keputusan Bank Rakyat memecat beliau bersama tiga yang lain sebagai tindakan zalim.

Ini kerana, katanya, sejak diberi notis pemberhentian kerja oleh pihak pengurusan tertinggi Bank Rakyat yang berkuat kuasa 25 April lalu, sehingga kini beliau dan rakan-rakannya tidak diberi sebarang alasan kenapa dan sebab dipecat.

Justeru, beliau bersama tiga rakannya yang menerima notis pemberhentian itu telah memfailkan tindakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuntutan termasuk wujudnya campur tangan oleh Bank Rakyat, yang menyebabkan perkhidmatan mereka ditamatkan oleh YBR.

“Tindakan undang-undang ini diambil selepas pelantikan saya sebagai CEO YBR telah ditamatkan pada 25 April lalu, tanpa justifikasi sah, dan kegagalan mengikut tatakelola.

“Manakala tiga warga kerja yang lain telah ditamatkan perkhidmatan secara konstruktif oleh YBR akibat campur tangan Bank Rakyat.

“Tindakan yang dikenakan ke atas saya ini bukan sahaja menjejaskan reputasi profesional saya, malah telah mencemarkan integriti institusi, seandainya dapat dibuktikan pihak Bank Rakyat mempunyai motif untuk berkonspirasi dalam pemecatan saya,” katanya dalam sidang media di sebuah café di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Menurut Syaiful Rizal, beliau juga telah membuat laporan polis ke atas Jabatan Audit Bank Rakyat selepas mendapati laporan audit yang dibuat tidak selari dengan perbincangan bersama pengurusan YBR.

Katanya, amat membimbangkan seandainya jabatan audit sebuah bank menjadi instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak.

“Kami sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa, jika wujud aduan salah laku ke atas kami.

“Namun, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, jika laporan yang dibuat oleh Jabatan Audit Bank Rakyat itu adalah palsu dan berniat jahat,” tegasnya.

Selain itu, ujarnya lagi, beliau juga turut memfailkan di bawah seksyen 20 Aktar Kerja 1955 di Mahkamah Perusahaan.

“Saya mengambil sedikit masa untuk mengambil tindakan ini kerana kami berharap ada campur tangan daripada menteri, yang setiap ketika kami telah berkomunikasi dengannya mengenai perkara ini,” katanya.

Mengenai dakwaan beliau selaku CEO ketika itu tidak memberi laporan terus kepada Bank Rakyat mengenai aktiviti YBR kepada Bank Rakyat, Syaiful Rizal menjelaskan, bidang tugasnya adalah di bawah kelolaan Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu.

“Segala laporan, kami bentangkan kepada Lembaga Pemegang Amanah YBR, kerana punca kuasa pelantikan saya sebagai CEO adalah daripada mereka.

“Bagaimanapun, peliknya saya ditamatkan perkhidmatan oleh jawatankuasa eksskutif yang baharu ditubuhkan, yang sepatunya bertindak mengikut undang-undang, termasuk tidak boleh mengambil alih peranan Lembaga Pemegang Amanah YBR,” katanya.

Katanya, beliau turut membuat laporan polis ke atas laporan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Bank Rakyat, yang mana laporannya tidak selaras dan tidak konsisten dengan perbincangan yang dibuatnya dalam mesyuarat bersama jabatan audit itu.

“Jabatan Audit Bank Rakyat ini mengaudit tatakelola pengurusan dana, tetapi mereka sepatutnya perlu bentangkan kepada Lembaga Pemegang Amanah YBR untuk penelitian, dan keputusan diambil oleh Lembaga Pemegang Amanah YBR.

“Tetapi, sekiranya laporan audit itu dijadikan asas untuk mengambil tindakan kepada kami, ia telah melanggar proses yang sepatutnya.

“Malah, boleh buktikan setiap dokumen, rakaman aktiviti sejak 2024 untuk dikongsikan di mahkamah nanti,” jelas beliau.

Katanya, sepanjang menerajui YBR, banyak pencapaian telah dilakunya, termasuk menerima anugerah dari pelbagai pihak, dalam dan luar negeri. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *