Ayah saya masih hidup, tiada kaitan dalam penyelesaian saman – Abdar Rahman Koya

KUALA LUMPUR – Berikut kenyataan daripada bekas ketua pengarang portal berita Free Malaysia Today (FMT), Abdar Rahman Koya sebagai respons kepada laporan media yang memetik kenyataan Khalid Samad dalam isu penyelesaian saman berhubung artikel bertajuk “Khalid presses on, tells Dr M to make way for Anwar” yang disiarkan FMT pada 26 Februari 2020.

SAYA terkejut dan terkilan dengan beberapa laporan yang memetik bekas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, ketika menjelaskan keputusan beliau untuk tidak meneruskan saman terhadap saya berhubung sebuah artikel diterbitkan portal FMT lebih 5 tahun lalu ketika saya merupakan ketua pengarang.

Beberapa laporan yang memetik kenyataan Khalid itu turut mengejutkan kami adik beradik kerana menyifatkan seolah-olah ayah kami telah meninggal dunia dengan menggunakan panggilan “Allahyarham”, sedangkan dia masih aktif pada usia 91 tahun.

Khalid seperti mana dipetik mendakwa rasa hormat beliau terhadap ayah saya yang mendorongnya menarik balik saman tersebut, dan kemudian menambah: “Semoga Allah merahmatinya”.

Seterusnya, laporan memetik beliau sebagai berkata kononnya saya “mengaku kesilapan dan kesal beliau ketika menulis dan menyiarkan berita itu”.

Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan beberapa perkara seperti berikut:

1. Ayah saya masih sihat pada usia 91 tahun dan bukan seperti mana yang tersirat dalam ayat yang digunakan Khalid, sehingga dilaporkan media seolah-olah ayah saya “Allahyarham”.

2. Ayah saya tidak ada kaitan langsung dengan penyelesaian luar mahkamah yang dicapai melalui “Joint Statement” (Kenyataan Bersama) oleh kedua-dua pihak plaintif dan defendan (sila lihat di bawah kenyataan asal sepenuhnya).

3. Kenyataan bersama itu juga langsung tidak menyebut apa-apa kenyataan kononnya saya mengaku melakukan “kesilapan”, sebaliknya ia menyebut terjemahan Inggeris sebuah hantaran Twitter oleh Khalid tidak menggambarkan dengan tepat apa yang ingin dimaksudkan oleh beliau, dan oleh itu saya menyatakan rasa kesal sekiranya ada apa-apa salah faham dan kesan terhadap beliau.

Suka saya menasihati Khalid supaya tidak mengheret pihak yang tidak ada kaitan ke dalam kes saman beliau terhadap saya.

Kalau benar dakwaan beliau hormat terhadap ayah saya, mengapa memulakan saman ini dan membiarkannya berterusan sehingga lebih 5 tahun?

Tambahan pula, saman ini difailkan dua kali, iaitu kali pertama ketika saya masih ketua pengarang FMT, dan kali kedua difailkan ke atas saya seorang selepas Khalid mencapai penyelesaian dengan pihak pengurusan FMT.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *