Mahkamah gantung sementara perintah beku aset Na’imah bernilai RM758.2 juta di London

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menggantung sementara perintah membekukan tujuh hartanah termasuk tiga kediaman mewah di London serta satu akaun bank didakwa milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan menggantung perintah itu sementara, selepas membenarkan permohonan dibuat peguam Na’imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Azhar dalam keputusannya hari ini berkata, permohonan perintah pembekuan berkenaan sepatutnya didengar secara kedua-dua belah pihak.

Berita Harian melaporkan, prosiding hari ini ditetapkan bagi sebutan permohonan ex parte (sebelah pihak).

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah.

Pada 3 Jun lalu, SPRM mendapat perintah secara ex parte untuk membekukan tujuh hartanah terbabit dan satu akaun bank mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua harta terbabit berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).

Mengikut permohonan SPRM, hasil siasatan dijalankan mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Harta terbabit ialah sebuah bangunan komersial beralamat di St Mary Axe di London yang dibeli pada Julai 2013 dengan harga £23.7 juta dan sebuah lagi beralamat di One Crown Court, 66 Cheapside, London yang dibeli pada Oktober 2014 dengan harga £31.5 juta.

Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah yang mana dua daripadanya beralamat di Bryanston Square serta Bryanston Mews, London yang dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £37.87 juta dan sebuah lagi beralamat di Lancaster Gate, London, dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £31.15 juta.

Turut dibekukan ialah dua unit kediaman bersebelahan beralamat di Gloucester Place, London, dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £8.095 juta, dan satu akaun bank.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi berasingan akan mendengar permohonan Na’imah untuk mencelah terhadap permohonan SPRM untuk membekukan 12 unit akaun pelaburan dimiliki wanita itu dan keluarga serta sekutu di Singapura bernilai lebih RM544 juta.

Ia akan didengar di hadapan Hakim K Muniandy.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Iman Wan Mohd Afzal memohon mahkamah membenarkan perintah membekukan harta itu, yang mengikut hasil siasatan awal, dipercayai menggunakan sumber pendapatan dalam negara dan tidak pernah diisytiharkan.

Katanya, mahkamah hendaklah membekukan harta itu sebelum ia dilupuskan.

Bagaimanapun, Gurdial menyatakan pihaknya keliru dan kecewa terhadap permohonan itu kerana tidak pernah menyebut nama mana-mana responden dalam permohonan mereka.

“Perintah ini bukan sahaja terhadap harta tetapi juga terhadap individu. Permohonan ini tidak boleh diteruskan secara ex parte. Ia perlu diteruskan secara inter parte.

“Saya mohon supaya mahkamah ini tidak mengeluarkan sebarang perintah (berkaitan pembekuan) sehingga permohonan inter parte didengar.

“Kami tidak mempertikaikan tindakan SPRM untuk membuat permohonan ini atau untuk membuat siasatan, tetapi ia mestilah dijalankan dengan cara yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumat dalam hujahan balasnya menyatakan, permohonan dibuat adalah perintah pembekuan dan bukan pelucutan harta.

“Perintah diperlukan bagi memastikan status quo (tidak dilupuskan) aset itu sementara siasatan dijalankan.

“Selepas setahun, sekiranya tiada sebarang kesalahan dikaitkan dengan aset berkenaan, ia akan dipulangkan semula,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *