KUALA LUMPUR – Tiada undang-undang persekutuan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong terikat nasihat Lembaga Pengampunan, kata bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad.
Beliau berkata, titah pengampunan adalah kuasa mutlak Agong dan dan ia tidak boleh dicabar mana-mana pihak.
“Tentang perkara antara dua titah (iaitu) pertama melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri, Najib (Razak).
“Perlu jelas kita depan titah diraja dan bukan arahan perdana menteri atau menteri. Titah berkenaan adalah kuasa mutlak Agong,” katanya pada sesi Rapat Umum Rakyat Mencari Kebenaran ‘Antara Dua Titah’ seperti dilaporkan portal FMT semalam.
Beliau menjawab persoalan dibangkitkan moderator Kamarudin Ahmad berhubung titah pengampunan adalah hak prerogatif Agong, yang antara lain membenarkan Najib menjalani baki pemenjaraan di rumah.
Kamarudin mencadangkan kerajaan dan Najib sepatutnya menarik permohonan masing-masing yang telah dikemukakan di mahkamah.
Sementara itu, Dzulkifli berkata keputusan menarik balik permohonan antara pihak kerajaan dan Najib itu perlu bersandarkan kepada kesungguhan kedua-dua pihak.
Beliau berpandangan, titah addendum Najib itu tidak menimbulkan isu perundangan, tetapi sebaliknya berkenaan pelaksanaan.
“Sama ada mahu dilaksanakan atau tidak. Hujung-hujung kita akan pertikai titah Agong walhal Agong tidak terikat kepada Lembaga Pengampunan,” katanya.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001