ANKARA – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai “ancaman terbesar” kepada keselamatan di Asia Barat.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X oleh Pejabat Presiden Turkiye, Erdogan menyampaikan perkara itu kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, dalam satu perbualan telefon pada Selasa.
“Netanyahu sekali lagi membuktikan bahawa beliau adalah ancaman paling besar terhadap keselamatan rantau ini,” kata Erdogan seperti dipetik kenyataan tersebut.
Presiden Turkiye itu turut memaklumkan, beliau sedang menjalankan rundingan diplomatik secara intensif susulan konflik yang tercetus akibat serangan Israel ke atas Iran dan berikrar akan meneruskan usaha untuk menamatkan kitaran keganasan yang semakin memburuk.
Erdogan turut memberi amaran agar serangan Israel tidak dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian dunia daripada krisis kemanusiaan dan “pembunuhan beramai-ramai” yang berlaku di Gaza.
“Serangan ini tidak boleh dibiarkan menenggelamkan isu kemanusiaan di Gaza dan kita juga perlu berwaspada agar ketegangan ini tidak merebak ke Syria,” katanya lagi.
Sejak tercetusnya perang di Gaza, Erdogan antara pemimpin dunia yang paling lantang mengkritik Israel, malah beberapa kali menyamakan Netanyahu dengan Adolf Hitler serta melabelkan Israel sebagai sebuah “negara pengganas.” – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001