KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan empat kes salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan RM200 juta ke Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan itu selepas mendapati ia memenuhi ambang yang ditetapkan untuk dipindahkan dan dibicarakan di bawah Seksyen 417(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Beliau berkata, tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku pemohon merupakan isu yang bersifat luar biasa sukar.
“Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa hakim Mahkamah Sesyen mempunyai pengetahuan undang-undang dan kepakaran untuk mengendalikan perbicaraan kes ini.
“Namun demikian, adalah lebih bermanfaat untuk Mahkamah Tinggi mendengar dan memutuskan tiga persoalan undang-undang tersebut. Maka, saya membenarkan perenggan satu notis usul pemohon,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Dalam prosiding itu, Muhyiddin diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir sebagai responden.
Selepas prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi atas alasan ia melibatkan persoalan undang-undang yang boleh menimbulkan kesulitan luar biasa di sisi perundangan.
Dalam dokumen yang difailkan, beliau menyatakan bahawa kes ini merupakan kes berkepentingan awam yang mendapat perhatian dan liputan media meluas, baik di dalam mahupun luar negara.
Sehubungan itu, beliau memohon agar perbicaraan dijalankan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dan mempunyai bidang kuasa mendengar kes sebegitu.
Beliau turut menegaskan bahawa pemindahan kes tidak akan menimbulkan sebarang kesulitan atau kemudaratan, malah akan memudahkan urusan semua pihak tanpa memprejudiskan mana-mana pihak.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu, Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi manfaat kepada parti tersebut.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, beliau didakwa menerima wang berjumlah RM200 juta yang merupakan hasil aktiviti haram daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001