WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melancarkan perarakan tentera impiannya di Washington pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-79 semalam, ketika puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di seluruh negara, menuduhnya bersikap diktator.
Pada perarakan itu, Trump memberikan tabik hormat selepas melangkah ke pentas besar di hadapan Rumah Putih, dengan dua kereta kebal diletakkan berdekatan, sambil dentuman 21 das tembakan kehormatan kedengaran dan lagu kebangsaan dimainkan.
Perarakan yang menelan belanja mencecah AS$45 juta (RM191 juta) itu secara rasmi diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-250 Tentera Darat AS, selain bertepatan dengan hari lahir Trump, menampilkan kereta kebal, aksi lintas terbang dan hampir 7,000 anggota tentera berarak melepasi pentas kehormatan.
Bagaimanapun, insiden pembunuhan seorang wakil rakyat Demokrat dan suaminya di Minnesota turut menyelubungi suasana perarakan dengan kesedihan.
Trump mengecam serangan yang mengorbankan bekas Speaker Dewan Negeri, Melissa Hortman, serta suaminya, manakala seorang lagi wakil rakyat dan isterinya dimasukkan ke hospital akibat kecederaan tembakan.
Trump, yang kini memasuki penggal kedua dengan memperluas kuasa Presiden ke tahap luar biasa, sebelum ini menyatakan di platform Truth Social bahawa ini adalah “hari besar untuk Amerika”.
Malah, Presiden Russia, Vladimir Putin turut menghubunginya dan kedua-dua pemimpin bersetuju mengenai keperluan menamatkan konflik Iran-Israel, yang menyaksikan tentera AS membantu Israel menangkis serangan peluru berpandu Tehran.
Namun pada masa yang sama, perpecahan politik yang mendalam di negara itu semakin terserlah apabila penunjuk perasaan ‘No Kings’ berhimpun di beberapa bandar utama termasuk New York, Los Angeles, Washington, Houston dan Atlanta.
Sebahagian penunjuk perasaan menyasarkan kediaman peribadi Trump di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida, manakala sekumpulan kecil turut berhimpun di Paris.
Penunjuk perasaan ‘No Kings’ mengecam apa yang mereka dakwa sebagai kecenderungan autoritarian Trump, khususnya simbol kekuasaan yang ditonjolkan menerusi perarakan terbesar di Washington dalam beberapa dekad.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Steven Cheung, berkata protes ‘No Kings’ langsung tidak berjaya dan kehadirannya amat kecil, walaupun gambar-gambar menunjukkan kehadiran besar di beberapa bandar.
Trump turut memberi amaran akan menggunakan ‘kuasa besar’ sekiranya berlaku cubaan menggagalkan perarakan tentera di Washington, walaupun perarakan mungkin terganggu akibat cuaca buruk.
Manakala pengkritik menuduh Trump meniru gaya pemerintahan autoritarian seperti di Moscow atau Pyongyang.
Gabenor California, Gavin Newsom, mengecam tindakan Trump menghantar Pasukan Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles tanpa persetujuan negeri, dan menyifatkannya sebagai ‘paparan kelemahan yang menjijikkan’.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001