KUALA LUMPUR – Perang terbaru Israel ke atas Iran hanya akan meningkatkan lagi ketegangan konflik di Asia Barat yang sudah pun berada di pinggir peperangan besar.
Timbalan Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof melihat perkembangan terbaru serangan yang dimulakan Israel ke atas Iran itu sangat kritikal dan amat membimbangkan.
Ia katanya, akan menjejaskan keamanan dan kestabilan yang sudah pun rapuh serta berpotensi mengheret negara telok lain dan negara-negara Arab untuk bertindak.
“Perkembangan mutakhir ini juga boleh memberi kesan terhadap keadaan geopolitik global yang sudah pun digemparkan dengan pembunuhan genosid di Gaza.
“Kemarahan ke atas Israel boleh memuncakkan suasana politik tegang di negara-negara dunia dan boleh membawa kepada keadaan huru-hara di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelas beliau, serangan terbaharu Israel ke atas Iran adalah barbarik dan tidak bertanggungjawab.
Katanya, Amerika Syarikat tidak dapat dielak dari tuduhan bersekongkol berpandukan dari kenyataan Presidennya, Donald J. Trump usai serangan ke atas Iran berlaku.
“Kuasa-kuasa besar dunia yang lain mestilah mengambil sikap mengutuk serangan Israel dan mesti bertindak menghentikan perang ini serta merta.
“Impak dan implikasi perang ini amat besar, kritikal dan meluas bukan sahaja kepada geopolitik, tetapi juga keadaan ekonomi dunia yang amat ‘volatile’.
“Kesan rantaian perang ini menjejaskan ekonomi dunia dan meningkatkan lagi kos sara hidup dunia sekaligus menjejaskan kestabilan politik dunia,” katanya.
Beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB perlu mengadakan mesyuarat tergempar untuk meluluskan resolusi menghentikan peperangan itu dan kuasa besar tidak menggunakan kuasa veto untuk menafikannya.
Bahkan, katanya, regim Israel sudah sampai ke tahap ‘kegilaan’ dan ‘kebinatangan’, malah maklum balas dunia Islam serta Barat amat mengecewakan kerana ‘menyepi’ tanpa sebarang tindakan pantas membalas tindakan unilateral negara Zionis Israel.
“Regim Israel hari ini tidak akan memahami bahasa diplomasi kerana setiap kali mereka menandatangani perjanjian damai, setiap kali mereka mengkhianatinya dengan membunuh kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa di Palestine dan Gaza.
“Rundingan dan diplomasi dalam siri terbaharu serangan Israel dan tindak balas Iran semakin mencabar serta hipotesis perang berskala besar antara dua negara ini dan negara lain yang simpati sukar dibayangkan oleh masyarakat dunia yang cintakan keamanan,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001